Rintangan Dalam Perkahwinan

| Ahad, 18 Oktober 2009 |

Assalamu'alaikum wrt.

Alhamdulillahi rabbil 'alamin, moga semua sahabat sahabiah hidup dalam kebahagiaan dan di bawah naungan rahmat Ilahi dalam mengemudi bahtera kehidupan ini, yang semakin hari semakin mencabar jiwa seseorang.


Disini sedikit artikel tentang rintangan dalam perkahwinan :


Hari ini, orang ramai berpandangan sinis apabila kahwin sambil belajar. Ada ke duit nak bagi makan anak bini? Timbul jugak persoalan, belum kahwin lagi sudah boleh naik kereta sekali? Berbonceng guna motosikal?


Ada orang bertanya, tak bolehkan naik motor sekali? Apa salahnya naik kereta sekali? Bukannya nak berkhalwat pun... Huhu.. Saya pun teringat satu kaedah. Ada seorang ustaz menjawab dengan selamba, sebenarnya lelaki dan perempuan bukan mahram boleh berbonceng motosikal. Tetapi dengan syarat, ayah si perempuan hendaklah duduk di antara si lelaki dan perempuan, di atas satu motosikal. Amacam? Boleh bayangkan?


Kereta pula, kalau nak berkenderaan dengan perempuan bukan mahram, tak salah sekiranya ada mahram, seperti ayah si perempuan. Kalau adik dia boleh tak? Kalau adik dia yang belum mumayyiz, tak boleh. Ada pasangan buat dalih.. apabila ditangkap basah.. depa kata .. “Adik aku ni kan ada... Apa khalwatnya?”.. Tengok-tengok adik dia tu baru berumur 4 tahun.. Tak jadi cerita la gitu..


Inilah persoalan yang sering ditimbulkan... Dulu saya pernah cuba menterjemah buku Rintangan Dalam Perkahwinan karangan Ustaz Abdullah Nasih Ulwan. Dalam buku tersebut, telah disenaraikan 8 rintangan yang dihadapi, iaitu :


1. Mahar yang tinggi

2. Berlebih-lebihan Pada Meletakkan Tanggungjawab Dalam Perkahwinan

3. Pelajaran

4. Peluang bermaksiat yang luas

5. Kos Hidup Tinggi

6. Kemiskinan

7. Tanggapan Buruk

8. Kefahaman Agama Yang Kurang


Cuma saya sempat menterjemah dua artikel daripada 8 ini, iaitu nombor satu dan dua.. Semoga bermanfaat..


1. Mahar yang tinggi


Manusia hari ini, semakin hari semakin lupa tujuan sebenar perkahwinan. Sehinggakan hampir-hampir menyamakan perkahwinan anak perempuan itu umpama jualan. Semakin mahal harganya, semakin tinggilah nilainya. Tanggapan silap ini sudah bercanggah dengan matlamat sebenar perkahwinan.


Adakah mahar yang tinggi disebabkan nilai perempuan itu tinggi? Bukankah ukuran nilaian yang tinggi bagi seseorang itu adalah akhlaknya? Ramai manusia yang tinggi maharnya tetapi rendah martabatnya, dan tidak dinafikan juga, ramai yang tinggi martabatnya tetapi rendah maharnya.


Sangat mendukacitakan, apabila seorang ayah yang mempunyai anak gadis yang cantik, sengaja meletakkan nilai mahar yang tinggi atas dasar anaknya yang digilai. Apabila datang dua orang lelaki meminang, terus dibandingkan mana satukah yang meletakkan nilaian mahar yang lebih tinggi.


Semua ini bukanlah hasil didikan Islam, tetapi ia adalah hasil didikan material yang tidak kekal. Akhlak yang cantik tidak dipandang kerana terpengaruh dengan material yang lebih menggoda.


Lebih malang lagi, si ayah seolah-olah menambahkan parah yang ada pada lelaki yang meminang anaknya. Sudahlah perlu bersusah payah untuk meminang, ditambah pula dengan mahar yang terlalu tinggi sehingga memaksa lelaki tersebut merasakan zina adalah cara yang lebih mudah.


Tidakkah dengan melakukan sedemikian akan menyebabkan kehancuran yang lebih besar? Kewujudan golongan ini akan memaksa masyarakat lebih mudah untuk menerima seks luar nikah berbanding perkahwinan yang dikatakan susah dan rumit.


Nabi SAW bersabda

Apabila seseorang yang diterima akhlak dan agamanya datang kepada kamu (untuk meminang anak kamu), maka kahwinkanlah dia


Pertama


Sudah pasti, secebis peristiwa yang pasti mencuit hati masyarakat hari ini, iaitu kisah yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Seorang pemuda telah meminta supaya mengahwinkannya dengan mana-mana perempuan.


Nabi SAW bertanya : Adakah kamu memiliki sesuatu (untuk dijadikan mahar)?

Pemuda itu menjawab : Demi Allah, tiada apa-apa (yang aku miliki) wahai Rasulullah.


Nabi SAW bersabda : Pergilah kepada keluargamu, adakah terdapat sesuatu di sana?

Lalu pemuda itu pergi berjumpa keluarganya untuk mendapatkan sesuatu untuk dijadikan mahar. Setelah itu, dia kembali kepada Rasulullah SAW.

Pemuda itu berkata : Demi Allah, tiada apa-apa (yang keluargaku miliki) wahai Rasulullah.


Nabi SAW bersabda : Perhati betul-betul, walaupun terdapat sebentuk cincin besi.

Lalu pemuda itu pergi sekali lagi untuk mendapatkannya sekiranya ada, lalu dia kembali semula kepada Nabi SAW.

Pemuda itu berkata : Demi Allah, tiada apa-apa (yang aku temui), walaupun sebentuk cincin besi wahai Rasulullah. Akan tetapi, (aku mempunyai izar dan) ini izarku, dan sebahagiannya aku boleh berikan kepadanya.


Nabi SAW bersabda : Apa yang kamu boleh buat dengan izar mu? Jika kamu memakainya, tiadalah pakaian baginya, dan jika dia memakainya, tiadalah pakaian bagimu.

Maka pemuda tersebut pun duduk, sehingga berlalu tempoh yang agak lama, dia pun bangkit. Ketika itu, Nabi SAW melihat pemuda tersebut berlalu. Lalu Nabi SAW memanggilnya. Apabila pemuda tersebut datang, Baginda SAW bersabda :


Nabi SAW bersabda : Apa yang kamu miliki daripada al Quran?

Pemuda itu menjawab : Aku miliki surah ini, dan surah ini.


Nabi SAW bersabda : Adakah kamu boleh membacanya pada hatimu?

Pemuda itu menjawab : Ya.


Nabi SAW bersabda : Pergilah, sesungguhnya aku mengahwinkan kamu dengan apa yang kamu miliki daripada al Quran.


Betapa mudahnya berurusan dengan Nabi SAW dengan menggunakan cara Islam. Mahar yang digunakan di dalam hadith di atas ialah mengajarkan al Quran kepada perempuan.


Ketiga


Saidina Umar al Khattab berkata :

Janganlah kamu bermahal pada mahar perempuan. Sesungguhnya, sekiranya dia mendapat kemuliaan di dunia dan ketaqwaan di sisi Allah SWT, sepatutnya Nabi SAW lebih layak (untuk melakukan demikian, sedang Nabi SAW tidak mahal dalam meletakkan mahar bagi perempuan). Nabi SAW tidak meletakkan mahar pada isteri-isterinya dan anak-anak peremuannya melebihi 12 bekas emas


Inilah nilai mahar yang paling tinggi. Ia menyamai 340 gram emas jika ditimbang.


Keempat


Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda :

Sesungguhnya di antara ciri-ciri perempuan yang baik ialah mudahnya mereka pada mahar.


Kelima


Nabi SAW bersabda :

Setinggi-tinggi keberkatan seorang wanita itu ialah mudahnya maharnya.


Kesimpulan


Kebanyakan ulama’ seperti Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat bahawa mahar diharuskan walaupun dengan banyaknya harta seseorang itu atau sedikit. Lihatlah dan bezakanlah apa yang sedang terjadi di sekitar kita hari ini.


Walaupun ada yang mengatakan bahawa mahar ini adalah seumur hidup, dan tiada salahnya diletakkan dengan harga yang tinggi. Ya, tetapi janganlah anda menafikan bahawa bukan semua perkara yang hanya sekali dalam seumur hidup perlu diletakkan dengan harga yang tinggi.


Sepatutnya, perkara yang dikatakan sekali seumur hidup itulah perlu dilakukan dengan terbaik, dan mahar yang terbaik adalah murah. Bilakah lagi kita ingin mengikuti sunnah Nabi SAW di dalam meletakkan mahar? Bukankah sekali seumur hidup? Mengapa peluang ini tidak direbut?


Kenapa difikirkan “tiada salahnya meletakkan mahar yang tinggi” semata-mata, sedangkan mashlahah dan keperluan semasa tidak pula ditimbang?


Sedikit cebisan daripada ayat al Quran yang perlu direnungi bersama,


Allah SWT berfirman

Dan kahwinkanlah orang-orang ujang (lelaki dan perepuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dan hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan emberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui (Surah an Nur : 32)


Sekiranya direnung lagi pada Sirah Nabi SAW, Baginda SAW telah mengahwinkan anak perempuannya Saidatina Fatimah, seorang perempuan yang mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT. Mahar perkahwinannya dengan Saidina Ali KAW hanya 4 dirham.


Adakah kita hari ini, meninggikan mahar kerana merasakan anak perempuan kita lebih mulia daripada Saidatina Fatimah? Atau kita merasakan diri kita “lebih” daripada Nabi SAW? Atau kasih sayang kita terhadap anak perempuan kita melebihi kasih sayang Nabi SAW terhadap Saidatina Fatimah?


Di dalam “halangan” dan rintangan dalam perkahwinan yang dihadapi oleh kebanyakan remaja hari ini, kita mendapati bahawa penyelesaian tersebut terletak di bahu ibu bapa si perempuan. Sekiranya kita bersama menyelesaikan halangan pertama ini, sudah pasti jalan yang luas akan terbuka dan menyelamatkan lebih ramai generasi Islam daripada terjebak ke lembah penzinaan.


2. Berlebih-lebihan Pada Meletakkan Tanggungjawab Dalam Perkahwinan


Perkara kedua yang menjadi halangan dan rintangan di dalam perkahwinan ialah berlebih-lebihan pada meletakkan tanggungjawab dalam perkahwinan. Perkara ini samada disebabkan kejahilan ataupun sengaja untuk menyusahkan.


Apakah yang dikatakan sebagai tanggungjawab di dalam perkahwinan yang dimaksudkan di dalam tajuk pebincangan ini? Sepertimana yang telah kita ketahui, di dalam perkahwinan sudah pasti terdapat tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh suami dan isteri.


Namun, tanggungjawab tersebut adakalanya bukanlah menjadi kewajipan oleh suami atau isteri untuk melakukannya. Contohnya hantaran perkahwinan, pakaian yang mahal-mahal dan sebagainya yang boleh mengundang kepada berlebihan.


Contoh yang lain, hadiah dikatakan satu keperluan dan menjadi tanggunjawab bagi suami untuk menyediakan hadiah yang mahal, susah untuk didapati dan sebagainya yang menyebabkan bakal suami tertekan untuk memikirkan tentangnya. Perkara ini sering terjadi disebabkan “ingin menjaga hati”, “sekali seumur hidup” dan sebagainya.


Kedua-dua ini bukanlah persoalannya, tetapi perkara yang menjadi persoalan ialah kemampuan. Sekiranya kemampuan bakal suami itu kurang, mengapa perlu disamakan dengan lelaki-lelaki lain?


Bertambah parah, apabila terdengar rintihan seorang yang membujang berkata apabila ditanya kenapa tidak mahu berkahwin? “Kalau aku berkahwin, akan ditelakkan sejuta tanggungjawab pada bahuku, setiap bulan terpaksa menyediakan hadiah yang mahal-mahal untuk isteriku, setiap minggu terpaksa membawa pulang bunga ros sebagai tanda cintaku kepadanya dan sebagainya”.


Adakah ini semua merupakan perkara yang wajib bagi seorang suami? Ya, memang tidak dinafikan, tanggungjawab sebagai suami adalah satu tanggungjawab yang besar, tetapi perlu bijak membezakan manasatukah yang dikatakan tanggungjawab tersebut.


Adakah menyediakan kereta yang besar untuk isteri pergi bekerja juga menjadi satu perkara yang wajib? Mengapa tidak difikirkan perkara lain yang perlu diutamakan? Atau si lelaki itu yang jahil daripada mengenal manasatukah tanggungjawab yang wajib dilakukan dan perkara sampingan?


Di dalam perbincangan ini, marilah kita merenung sejenak di manakah punca timbulnya rintangan ini.


Pertama


Ia berpunca daripada taklid buta terhadap adat-adat yang terkeluar daripada landasan syariat, yang menutup mata manusia daripada membezakan di antara benar atau pun sesat.


Tutur kata yang biasa didengari ialah “Kamu mesti melakukan perkara ini, sebab atuk dan nenek kamu melakukannya” Sekiranya perkara tersebut tidak bercanggah dengan Syariat Islam, sudah pasti tidak menimbulkan masalah. Tetapi bagaimana pula dengan amalan-amalan yang bercanggah?


Allah SWT berfirman

Dan apabila dikatakan kepada mereka “turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab : “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapat datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara Agama), dan tidak pla mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? (Surah al Baqarah : 170)


Kedua


Punca yang kedua ialah, ia berpunca daripada hasutan dan seni godaan syaitan untuk melemahkan manusia dan memburuk-burukkan gambaran terhadap pekahwinan. Sudah pasti, syaitan akan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan manusia daripada berkahwin.


Ini kerana perkahwinan itu akan menyebabkan segala perancangan jahat syaitan runtuh. Sekiranya manusia tersebut sudah berkahwin syaitan akan cuba meruntuhkan rumah tangga tersebut. Lebih teruk apabila rancangan jahat syaitan ini cuba diprovokasikan oleh manusia sendiri!


Semoga bermanfaat


MUHAMMAD MUJAHID BIN MOHAMMAD FADZIL

UNIVERSITI AL AZHAR


Siiru 'ala Barakatillah.


0 comments:

;

Kenali Ulama'

Yaumul 'eid 2009

Syeikh Ibnu Ata'illah As-Sakandari menyatakan :
"Raja' (harapan) iaitu kehendak yang diiringi dengan amal. Kalu tidak, disebut umniyyah ( angan-angan)".
Harapan yang diakui dalam Islam ialah harapan yang disertakan dengan amalan. Sekiranya tidak disertai dengan amalan, ia merupakan sejenis angan-angan kosong yang lebih hampir kepada mimpi di siang hari sahaja. Begitu juga dengan seseorang pejuang Islam yang ingin merubah sistem jahiliyah ini ke arah sistem Islam seluruhnya, namun tidak pernahpun bergerak untuk merealisasikan hasratnya itu, keinginannya itu hanyalah angan-angan kosong sahaja.


Ape Ade Pade Name

ABDUL YADIY
AAmanah
BBijaksana
DDinamik
UUntung
LLemah-lembut
YYakin
AAlim
DDedikasi
IIkhlas
YYakin
Apa ada pada nama?

~Alirkanlah Dlm Dirimu Cinta Hanya Pd-NYA~

Silibus Tarbiah Usrah

Silibus Tarbiah Usrah
Satu Lambang Komitmen Sekelompok UMMAH Menggerakkan Tarbiah Generasi Baru ISLAM

~Anjung Sahabat~

Soutul Ukhuwah


ShoutMix chat widget

Pengikut

Qalbun Salim