Perselisihan Di Antara Imam-Imam Mazhab

| Rabu, 3 Oktober 2012 |



Kenapakah Imam-Imam Berselisih?

Imam-imam berselisih kerana syariat Allah diturunkan dalam bentuk nas-nas. Manusia tidak dapat lari daripada perselisihan di dalam memahami nas-nas. Ini adalah suatu yang tabi'e (semulajadi) dalam kehidupan. Manusia di dalam perselisihan mereka terbahagi kepada dua.

Golongan yang mengambil berat tentang zahir lafaz dan golongan yang mengambil berat tentang maksud lafaz. Hal ini juga wujud di kalangan pengulas undang-undang. Terdapat madrasah (aliran) yang menyempitkan kepada zahir nas dan madrasah yang mengembangkannya dan mengambil berat tentang maksud nas.

Kedua-dua golongan ini telah wujud semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi iaitu ketika Baginda bersabda selepas perang Ahzab:
لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah ia bersembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Quraidzah.”

Para sahabat telah berselisih mengenainya ketika hampir Maghrib.

Ada yang berkata:
"Tujuan Rasulullah s.a.w. berkata demikian ialah supaya bersegera."

Yang lain pula berkata:
"Tidak, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat janganlah bersembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Quraizah. Oleh itu kami tidak akan sembahyang melainkan di perkampungan Bani Quraidzah, walaupun selepas Maghrib."

Jadi, mereka menunaikan Asar di dalam waktu Maghrib.

Ketika disampaikan hal itu kepada Rasulullah, baginda tidak menyalahkan mana-mana golongan pun. Ini adalah iqrar (pengakuan) baginda terhadap ijtihad. Baginda membiarkan sahabatnya beramal mengikut ijtihad mereka. Inilah salah satu sebab perselisihan.

Sebab lain lagi ialah ada manusia yang ‘mutasyaddid’ (terlalu berhati-hati) dan ada yang ‘mutarakhis’ (memudahkan). Ini adalah tabiat manusia.

Ibnu Omar contohnya, tidak sama dengan Ibnu 'Abbas. Ibnu Omar ketika berwudhuk akan memasukkan air ke matanya sehingga menyebabkan beliau buta. Ibnu `Abbas pula tidak merasakan perkara itu perlu.

Ibnu Omar takut mencium anak anaknya kerana bimbang air liur mereka terkenanya. Ibnu ‘Abbas pula mencium dan memeluk mereka serta berkata: "lanya seperti bunga yang dicium."

Perbezaan pandangan antara dua sahabat ini ialah perbezaan roh mereka. Dari sinilah datangnya kaedah' Syadaaid Ibnu Omar' dan `Rukhsah Ibnu Mas'ud' yang terkenal di dalam warisan Feqah.

Bahasa juga merupakan sebab berlakunya perselisihan.

Mafhum Firman Allah:
"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga quru '. " (Al-Baqarah: 228)

Apakah yang dimaksudkan dengan quru'?

Di dalam bahasa, perkataan ini memberi dua makna samada ‘haid’ dan juga ‘suci’. Para Imam telah berselisih disebabkan oleh perselisihan mereka dalam menentukan maksud perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna.

Begitulah juga dengan sebahagian perkataan yang membawa maksudnya yang hakiki dan `majazi' (bukan makna hakiki). Sebahagian Imam mengambil maknanya yang hakiki dan sebahagian yang lain mengambil maknanya yang `majazi'. Sebagai contohnya, firman Allah: "Atau kamu sentuh perempuan.” (Al-Maidah: 6)

Adakah yang dimaksudkan di sini bersentuh, seperti pandangan Ibnu Omar atau ianya adalah kiasan bagi persetubuhan, seperti pandangan Ibnu `Abbas?

Antara sebabnya lagi ialah yakin atau tidaknya Imam-imam kepada sesuatu riwayat. Seorang Imam mungkin meyakini dan mengambil suatu riwayat, sedangkan seorang Imam yang lain tidak meyakininya atau mengambilnya.

Sesetengah daripada mereka mengenakan syarat-syarat untuk menerima hadis yang tidak dikenakan oleh yang lain. Terutamanya di dalam beberapa masalah seperti `umum al-balwa'.

Sebab lain lagi ialah perselisihan mereka di dalam penilaian dan pengkelasan sesuatu dalil. Misalnya Imam Malik mengutamakan amalan penduduk Madinah dalam ibadat lebih daripada hadis Aahaad.

Ada Imam-imam yang mengutamakan hadis Dha'if (yang kemudiannya dinamakan hadis Hasan) lebih daripada qias. Imam-imam lain pula melihat sebaliknya. Begitulah seterusnya.

Ada yang berhujah dengan hadis Mursal secara total, ada yang menolaknya secara total dan ada juga yang menerimanya dengan bersyarat.

Ada yang berpendapat syariat umat terdahulu adalah syariat bagi kita dan ada yang tidak berpendapat begitu.

Ada yang berhujah dengan kata-kata sahabat dan ada yang menolaknya.

Ada yang berhujah dengan `masaah mursalah' (yang tidak ada dalil menunjukkan penerimaan dan penolakannya) dan ada yang tidak menerimanya.

Sebab-sebab berlaku percanggahan ini adalah perselisihan mereka dalam dalalah `amr' (perintah) dan `nahyu' (larangan), `am' (umum) dan `khan' (khusus), `mutlak' dan `muqaiyad', `mantuq' dan `mafhum' serta lain-lain perkara lagi yang dijelaskan dalam ilmu Usul Fiqh.

Tegasnya, terdapat banyak sebab yang membawa kepada perselisihan Imam-imam. Banyak buku-buku sama ada lama dan baru yang disusun dalam masalah ini. Antaranya ialah kitab al Insaf fi asbab al-Ikhtilaf karangan al-'Allamah al-Dahlawi, `Asbab Ikhtilaf Ulama' karangan Sheikh Ali al-Khafif dan buku `al-Sohwah al-Islamiah baina al-Ikhtilaf al-masyru` waal-Tafarruq al-Mazmum' karangan saya sendiri.

Saya telah menerangkan di dalamnya, perselisihan di dalam perkara furu' (cabang) adalah daruri, rahmat, keluasan dan kekayaan. Saya juga menerangkan asas-asas fikiran dan akhlak yang terbina di atasnya Fiqh al-Khilaf (cara-cara berselisih) dan adab-adabnya sesama umat Islam.

Allah telah memberikan rahmat-Nya kepada umat ini dengan tidak menyempitkan agama mereka. Allah memberikan keluasan di dalam agama bagi pandangan dan pemahaman yang berbeza. Sesuatu yang sesuai untuk satu suasana mungkin tidak sesuai untuk suasana lain.

Suatu yang sesuai untuk satu zaman mungkin tidak sesuai untuk zaman yang lain.

Sebahagian sahabat telah berfatwa bagi satu masalah, kemudian menarik balik fatwanya itu, sebagaimana yang berlaku pada Omar.

Ketika ditanya kenapa beliau berpatah balik daripada pandangannya, beliau berkata: "Itu adalah berdasarkan apa, yang telah kita tahu, ini pula berdasarkan kepada apa yang sedang kita tahu." Suasana dan hal sesuatu mungkin berubah dan manusia akan terkesan dengan apa yang dilihat dan didengar, lalu menukarkan pandangannya.

Oleh sebab inilah, Imam Syafie mempunyai dua mazhab. Mazhab Qadim ketika beliau berada di Iraq dan mazhab Jadid ketika beliau berada di Mesir. Perkara ini boleh kita lihat dalam kitab-kitab Fiqh: "Ini adalah pandangan Syafie dalam mazhab Qadim', "Ini adalah pandangan Syafie dalam mazhab Jadid." Ini ialah kerana apabila Imam Syafie sampai di Mesir, beliau melihat perkara-perkara yang belum pemah dilihatnya. Beliau mendengar hadis-hadis yang belum pemah didengarnya. Kerap kali mujtahid membetulkan kembali pandangannya. Semua ini adalah sebab-sebab yang membawa kepada berlakunya perselisihan.

Apabila Abu Ja'far al-Mansur meminta Imam Malik mengarang kitabnya Al-Muwattha, beliau (Abu Ja'far) telah berkata: "Jauhilah `syadaid' Ibnu Omar, `rukhsah' Ibnu 'Abbas, `syawaz' (keganjilan) Ibnu Mas'ud dan ajarlah ia kepada orang ramai."

Imam Malik melaksanakan permintaan ini dan mengarang kitabnya yang terkenal dalam Islam dengan nama `Al-Muwattha'.

Khalifah kemudiannya ingin memaksa orang ramai mengikut kitab ini, tetapi Imam Malik (r.a) dengan kefahaman, kesedaran dan kewarakannya telah berkata:
"Wahai Amirul Mukminin, jangan lakukannya! Sesungguhnya sahabat-sahabat Rasulullah telah bertebaran ke segenap tempat. Setiap kaum telah mempunyai ilmu. Masyarakat telah menerima banyak pandangan dan meredhainya. Sekiranya kamu memaksa mereka menerima satu pandangan sahaja, nescaya akan berlaku fitnah."

Begitulah, mereka memandang perselisihan dalam perkara-perkara furu' (cabang) sebagai satu yang tidak memudaratkan dan tidak dapat dielak. Tidak mungkin umat akan bersepakat menerima satu pandangan sahaja dalam masalah-masalah furu' sebegini. Inilah kelembutan dan kebaikan Allah terhadap umat ini, diberikan kita peluang untuk berijtihad dan ruang bagi berbilang-bilang pandangan.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi sekiranya semua umat Islam bersepakat menerima satu pandangan sahaja dalam semua perkara (menolak pandangan-pandangan lain). Tiada sesiapapun yang akan dapat menggunakan `rukhsah' (kelonggaran) dalam mana-mana perkara. Tiada siapa juga yang boleh menilai pandangan, kata-kata atau riwayat bagi mengetahui yang manakah paling tepat dan benar?

Kesemua ini adalah jawapan bagi soalan: "Mengapakah Imam-imam berselisih?"

Sumber : Fatwa Prof Dr Yusof al-Qaradhawi


0 comments:

;

Kenali Ulama'

Yaumul 'eid 2009

Syeikh Ibnu Ata'illah As-Sakandari menyatakan :
"Raja' (harapan) iaitu kehendak yang diiringi dengan amal. Kalu tidak, disebut umniyyah ( angan-angan)".
Harapan yang diakui dalam Islam ialah harapan yang disertakan dengan amalan. Sekiranya tidak disertai dengan amalan, ia merupakan sejenis angan-angan kosong yang lebih hampir kepada mimpi di siang hari sahaja. Begitu juga dengan seseorang pejuang Islam yang ingin merubah sistem jahiliyah ini ke arah sistem Islam seluruhnya, namun tidak pernahpun bergerak untuk merealisasikan hasratnya itu, keinginannya itu hanyalah angan-angan kosong sahaja.


Ape Ade Pade Name

ABDUL YADIY
AAmanah
BBijaksana
DDinamik
UUntung
LLemah-lembut
YYakin
AAlim
DDedikasi
IIkhlas
YYakin
Apa ada pada nama?

~Alirkanlah Dlm Dirimu Cinta Hanya Pd-NYA~

Silibus Tarbiah Usrah

Silibus Tarbiah Usrah
Satu Lambang Komitmen Sekelompok UMMAH Menggerakkan Tarbiah Generasi Baru ISLAM

~Anjung Sahabat~

Soutul Ukhuwah


ShoutMix chat widget

Pengikut

Qalbun Salim