Rijal Sejati...

| Sabtu, 14 Mei 2011 |

Salam,

Alhamdulillah, Allah masih lagi mengurniakan nafas untuk kita hidup di atas bumiNya bagi melaksanakan segala tuntutan dan kewajipan terhadap Allah dan agamaNya. Inilah hak kita sebagai hamba kepada Allah yang telah menciptakan kita dari tiada kepada wujudnya kita atas bumi ini. Walaupun pada hakikatnya tidak akan kurang sedikit pun khazanah Allah jika kita sebagai hambaNya tidak melaksanakan tuntutan dan kewajipan kepadaNya, dan juga tidak bertambah pun khazanah Allah jika kita taat dan patuh melaksanakan tuntutan dan kewajipan yang diwajibkan ke atas kita melaksanakannya. Maknanya kita sebagai hambaNya tidak memberi seba rang manfaat dan mudarat pun kepada Allah, bahkan hanya Allah sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudarat kepada diri kita. Ingat dan tekadkanlah dalam diri kita untuk melaksanakan yang terbaik dan luar biasa dalam menjalani tuntutan dan kewajipan yang digalaskan oleh Allah. Moga kita semua termasuk hambaNya yang ikhlas dalam perjuangan yang panjang dan penuh cabaran ini.

Disini ana ingin berkongsi sedikit sebuah kisah para salafussoleh untuk kita teladani hidup mereka dan mengambil roh perjuangan yang telah mereka lalui... Kisah Abdullah bin Mubarak dengan sahabat beliau Fudhail bin 'Iyadh... bacalah dengan teliti dan penuh tadabbur moga disana ada manfaatnye untuk para da'i.

Abdullah Bin Mubarak (Ibnu Mubarak)

Allah S.W.T. memberi hidayah kepada Abdullah bin Al-Mubarak (meninggal pada 181H) untuk melakukan pembaharuan (tajdid) dalam kehidupan umat Islam.

Abdullah bin Al-Mubarak Rahimahullah adalah seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti dengan adanya hadis-hadis beliau yang termaktub di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim, kitab-kitab sunan dan kitab-kitab musnad. Lebih dari itu, beliau adalah di antara ahli fiqh yang bijaksana dan mempunyai harta yang banyak. Kekayaannya telah dibelanjakan untuk membiayai pengajian pelajar-pelajar dan majlis ilmu di semua ibu negara Islam. Beliau juga mempunyai koleksi puisi-puisi indah tentang keimanan.

Bukan itu saja, bahkan beliau juga adalah seorang da’i dan mujahid. Setiap tahun beliau berperang di Rom dan menjadikan Tursus yang terletak di selatan Turki sebagai tempat tinggal. Sifat-sifat inilah yang menjadikan beliau pemimpin ahli hadis semasa zamannya.

Kata-kata yang dipetik dari Abdullah bin Mas’ud itu menggegarkan Abdullah bin al-Mubarak lalu dijadikan sebagai pelita di dalam hidupnya. Beliau memainkan peranan Ibnu Mas’ud yang kedua. Hinggakan kita dapat lihat beliau membantah sikap sahabatnya, seorang ahli ibadah zuhud yang thiqah iaitu al-Fudhail bin Iyadh Rahimahullah (meninggal pada 187H) kerana mengasingkan diri di Mekah untuk beribadat dan meninggalkan jihad.

Al-Fudhail juga merupakan seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti apabila hadis-hadisnya terdapat di dalam kitab sahih al-Bukhari dan Muslim. Dalam sejarah Islam, beliau dianggap seorang ahli ibadat dan zuhud yang termasyhur dan paling baik perkataannya. Tetapi Abdullah bin Al-Mubarak tidak menganggap keistimewaan itu sebagai alasan untuk meninggalkan jihad dan memerangi musuh Islam. Ibnu al-Mubarak pun mengeluarkan ‘kata-kata berat’ kepada al-Fudhail di mana beliau menyifatkan sahabatnya itu sebagai ahli abid yang bermain-main dengan ibadatnya. Tegurannya itu dikirimkan kepada al-Fudhail dari Tursus setelah selesai satu peperangan, semasa belum pun sempat debu di badannya hilang. Beliau mengirimkan rangkap-rangkap puisi yang tersangat indah, menjadi hujah bagi setiap da’i selepas beliau.

Syairnya mengandungi rangkap-rangkap yang sungguh mengkagumkan, isinya yang sangat benar dan jitu disulami dengan bahasa yang bermutu tinggi. Bukalah hati kalian, rungkaikanlah belenggu dan bebaskanlah hati kalian dari ikatan, supaya dia terbang dan melayang tinggi bersama rangkap-rangkap puisi Ibnu al-Mubarak :

Wahai orang yang sedang beribadat di dua tanah haram, jika kamu melihat kami

nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.

orang-orang itu membasahi lehernya dengan air mata,

sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah

dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia

sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan

kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami

adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan peperangan

telah datang kepada kami sabda Nabi kita

kata-kata yang benar, tepat dan bukan dusta :

“Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang

menyala

kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa

“orang yang mati syahid itu tidak mati” ini bukan satu dusta.

Rujuk : Al-Subki, Tabaqat al-Syafiiyyah al-Kubra, Jilid 1, m.s. 287 (dipetik dari Kitab al-Muntalaq : Muhammad Ahmad ar-Rasyid).

Hadis yang dimaksudkan oleh Ibnu Mubarak ini ialah Hadis sahih riwayat Tarmizi, Nasa’i, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ahmad : Tidak akan bertemu debu jihad dengan api neraka Jahannam.

Ungkapan Abdullah bin al-Mubarak ini diucapkan kepada ahli ibadah yang berada tanah haram Makah al Mukarramah. Al-Fudhail digelar sebagai ahli ibadah di dua tanah haram (Mekah dan Madinah). Beliau terkenal dengan banyak menangis. Kerana itulah Abdullah bin al-Mubarak menyindirnya dengan menyebut tentang air mata. Seperti sesetengah orang yang bersembahyang, al-Fudhail memakai haruman mawar dan lain-lain haruman untuk mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, Abdullah bin Al-Mubarak menyindirnya dengan mengatakan ianya satu haruman yang mudah padahal Rasulullah SAW dan pewaris baginda dari kalangan ulama’ mujahidin berlumuran dengan darah dan debu medan peperangan di samping haruman mawar dan kasturi.

Apalah yang patut kita katakan kepada orang yang pada hari ini meninggalkan jihad dan dakwah, tidak amar makruf dan nahi mungkar, bukan kerana banyak beribadat, tetapi untuk berehat, bermewah, mengumpulkan harta dan memuaskan hati suami atau isterinya?

Apakah tidak patut kita katakan kepada ahli ibadat hari ini apa yang telah di katakan Abdullah bin Al-Mubarak :

“Wahai ahli ibadah, sekiranya kamu melihat bagaimana da’i Islam bertarung dengan pendukung kekafiran (jahiliyyah) puak-puak yang sesat, barulah kamu tahu yang kamu hanya bermain-main di dalam ibadatmu.”

Jika ahli ibadat merasa bengkok belakangnya kerana terlalu banyak melakukan solat, kering tekak kerana terus-menerus berpuasa, para da’i pula bengkok belakang mereka kerana setelah solat fardhu dan sunat, mereka terpaksa ke sana ke mari pula membincangkan dan merencanakan pelbagai urusan dan maslahah umat Islam. Tekak mereka pula kering kerana banyak bekerja dan bergerak. Mereka mengorbankan darah mereka hinggakan jasad-jasad mereka terkulai di tali gantung.


Hikmah Diciptakan Nafsu

| Rabu, 5 Januari 2011 |

"Aku teringin makanan yang sedap. Aku mahu pangkat kedudukan yang tinggi. Aku mahukan suami/isteri yang terbaik. Tapi Ya Allah! Mengapa nafsuku ini sukar sekali diajar agar menjadi mutma'innah? Mengapa sukar sekali untukku ikat syahwatku ini? Sedangkan telah berulang kali aku diajar untuk menjadi seorang murid yang baik, nafsuku perlu dikekang. Keinginanku perlu cuba disekat. Aku patut menginginkan keredhaan dan maghfirah-Mu semata, Ya Allah!"

Inilah monolog diri seorang hamba Allah yang jika benar monolog itu datang dari hati yang tulus ikhlas, itu adalah tanda kedudukan hati yang begitu cukup tinggi di sisi Allah. Pernah seorang ahli Sufi berkata : "Jika ku mampu meninggalkan secupak makanan itu lebih ku cintai dari beribadat sepanjang malam."

Namun begitu mengapa keinginan nafsu ini disuburkan di dalam jiwa manusia? Apakah faedahnya? Mengapa diilhamkan Allah kepada kita kebaikan dan keburukan nafsu ini? Subhanallah. Sebenarnya ada tiga hikmah utama, nafsu disuburkan dalam jiwa manusia yang disebut ulama’:

1) Istimrar (kesinambungan).

2) Isti'nas (kerinduan dan keinginan kepada sesuatu).

3) Ba'is lilhimam (faktor pencetus kepada kekuatan).

Manusia memerlukan makanan untuk kesinambungan nyawanya. Memerlukan perkahwinan untuk kesinambungan spesis manusia. Usah disalahkan nafsu. Tanpa nafsu, tidak ada manusia yang ingin berkahwin. Manusia juga perlukan nafsu makan faktor penguat untuk berusaha mencari rezeki. Manusia juga memerlukan nafsu perkahwinan sebagai pencetus untuk berusaha mendapatkannya, dan memperbaiki kedudukan diri. Begitu jualah pada setiap jenis nafsu. Hikmah pertama dan ketiga ini mudah dikecap oleh fikiran yang terbuka dan hati yang beriman.

Pada hikmah kedua pula, iaitu isti'nas. Sebagai contoh, seorang anak kecil yang ditunjukkan gambar sebuah basikal, dan dijanjikan untuknya sebuah basikal oleh si ayah jika belajar bersungguh-sungguh. Tentu sekali si anak tadi, sudah merasa nikmat melihat gambar tersebut, dan sudah bernafsu untuk mendapatkannya. Namun nikmat yang sebenar adalah apabila dia benar-benar mendapatkan basikal itu daripada si ayah.


Begitu jualah kita di dunia ini. Apabila kita bernafsu untuk makan, jadikanlah makanan yang kita nikmati itu mengingatkan dan menguatkan pula keinginan kita untuk mendapatkan makanan yang jauh lebih lazat di Syurga. Anggur yang dimakan, susu yang diminum, takkan sama di dunia dan di akhirat. Setiap biji anggur yang kita nikmati di dunia, cuba kita bayangkan pula nikmat yang jauh lebih besar di Syurga, yang mana nikmatnya tidak ada mata yang mampu menggambarkannya, tidak ada telinga yang mampu mengecapnya dan tidak terlintas di hati manusia di dunia.

Nafsu perkahwinan, di dunia, sewajarnya mengingatkan kita pula akan perkahwinan di akhirat. Tak kira anda berkahwin dengan seorang wanita mahupun berpoligami di dunia sementara ini, jadikan ia penguat untuk mendapatkan Syurga Firdaus. Usahakanlah agar perkahwinan itu mampu menguatkan diri agar merindui akhirat.

Nafsu mendapatkan pangkat dan kedudukan di dunia, patut mengingatkan kita agar merindui kedudukan di sisi Allah di dalam Syurga. Kedudukan yang tiada taranya. Tentu sekali nafsu yang terbaik adalah apabila mengharapkan kedudukan (manzilah) di sisi Allah ketika di dalam dunai ini lagi. Bak, sebuah Hadis Qudsi, apabila kita menyebut nama Allah dalam satu kumpulan, Allah akan menyebut nama kita di dalam perkumpulan yang jauh lebih baik daripada perkumpulan kita itu. Bukankah itu satu kedudukan yang kita ingin kecap di dunia ini? Namun itu semua sepatutnya menyebabkan kita lebih merindui nikmat kedudukan di dalam Syurga. Khususnya, nikmat yang tidak terbanding apabila dianugerahkan Allah melihat kepada-Nya di dalam Syurga nanti. Segala nikmat di dunia ini akan terasa remeh malah tidak berharga, jika kita mendapat nikmat Allah di Syurga-Nya.

Keinginan yang dikecap dengan nikmat mendapat doa yang mustajab pun takkan sama dengan nikmat di syurga. Malahan nikmat beribadat di tengah malam juga (seperti mana kalam para salafussoleh, nikmat beribadat di tengah malam adalah nikmat teragung di dunia ini), tidak dapat mengalahkan nikmat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala di Syurga nanti. Moga setiap nafsu kita di dunia ini dapat menguatkan lagi keinginan kita untuk mendapatkan yang lebih baik lagi di akhirat kelak. Moga Allah memasukkan kita dalam golongan yang mendapat nikmat di atas nikmat di dalam Syurga-Nya nanti. Amiin.

Siiru 'ala barakatillah...


Tasawwuf dan Tareqat Menurut Syeikh Ali Jumaah

| Selasa, 4 Januari 2011 |

Tasawwuf dan Tareqat Menurut Syeikh Ali Jumaah

Syeikh Ali Jumaah (Ulama' Mesir) mengenai pengertian tasawwuf dan tareqat:

"Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".

Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.

Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.

Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.

Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:



Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]

Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.

Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara:

Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.

Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.

Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :

1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.

Firman Allah SWT:









Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]

2-Memperbanyakkan zikrullah.

Firman Allah SWT:



Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.

Firman Allah SWT:



Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)

Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan murid itu sendiri.

Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza.

Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah ! Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda Rasulullah SAW : Jangan kamu marah !. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh berpegang dengannya ! Jawab Rasulullah SAW : Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT.

Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.

Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT. Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".

Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah seterusnya.

Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan.

Mereka yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan.

Tidak harus juga bagi kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah). Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca sanjungan mereka terhadap tasauf.

Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".

Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.

Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung? Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan sunnah secara terus.

Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara berdepan atau mengadap guru).

Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah ulama' dalam bidang tersebut.

Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.

Firman Allah SWT:



Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat". [Al-Hajj: 38]

Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf, tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Kita memohon kepada Allah untuk memperlihatkan secara jelas terhadap urusan-urusan agama kita."

Syeikh Ali Jumaah (Ulama' Mesir)


Siiru 'ala Barakatillah...


ALLAH Wujud Tanpa Bertempat - الله موجود بلا مكان

| Isnin, 22 November 2010 |



Sila klik untuk mendengar..

1. Terjemahan :

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Alhamdulillah Tuhan Sekalian alam. Alhamdulillah telah memberi hidayah kepada kita semua, jika bukan dengan pemberian hidayah Allah kepada kita, kita semua tidak akan mendapat hidayah kecuali Allah menetapkan hidayah kepada kita.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad Rasulullah,ahli keluarga baginda, para sahabat dan pengikut baginda.

Maka disini Kami katakan:

Wahai seluruh umat Islam!
Ketahuilah sesungguhnya kepercayaan bahawa "Allah ta'ala wujud tanpa bertempat" merupakan akidah junjungan besar kita Nabi Muhammad, para sahabat, ahlil bait baginda dan semua yang mengikut mereka dengan kebaikan.

ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT.

Ini kerana Allah ta'ala tidak memerlukan kepada makhluk-makhlukNya,azali dan abadinya Allah Tidak memerlukan kepada selainNya.
Maka Allah tidak memerlukan kepada tempat untuk diduduki dan tidak merlukan kepada benda untuk diliputiNya dan Dia tidak memerlukan kepada arah. Cukup sebagai dalil pada mensucikan Allah dari bertempat atau berarah itu dengan firman Allah ta'ala yang bermaksud:

" Tiada sesuatupun yang menyerupai Allah".

Sekiranya Allah bertempat maka sudah pasti bagiNya persamaan dan berukuran tinggi lebar, dalam, dan sesuatu yang sedimikian pastinya adalah makhluk dan memerlukan kepada yang lain menetapkan ukuran panjangnya, lebarnya, dalamnya. Demikian tadi dalil 'Allah Wujud Tanpa Bertempat' dari Al-Quran.

Manakala dalil dari hadith Nabi pula adalah apa yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan selainya dengan sanad yang sohih bahawa Rasulullah (selawat dan salam keatasnya) bersabda yang bermaksud:

"Allah telah sedia wujud (azali) dan selain Allah tiada sesuatupun yang sedia wujud (azali)".

Makna hadith Nabi tadi adalah Allah telah sedia ada pada azal lagi, tidak ada bersama Allah selainNya, air belum ada lagi, udara belum ada lagi, bumi belum wujud lagi, langit belum wujud lagi, kursi belum ada lagi, arasy belum ada lagi, manusia belum wujud lagi, jin belum wujud lagi, malaikat belum ada lagi, masa belum ada lagi, tempat belum wujud lagi dan arah juga belum wujud lagi.

Manakala Allah telah sedia wujud tanpa tempat sebelum tempat dicipta dan Allah tidak sama sekali memerlukan kepada tempat. Inilah yang dinyatakan dari Hadith Nabi tadi. Saidina Ali (semoga Allah meredhoinya) berkata:

" Allah telah sedia ada tidak bertempat dan Allah sekarang juga atas sediakalaNya tanpa bertempat".
Diriwayatkan oleh Imam Abu Mansour Al-Baghdady dalam kitabnya Al-farqu Bainal Firaq.

Dari segi akal, sebagaimana diterima akan kewujudan Allah ta'ala itu tanpa tempat dan tanpa arah sebelum adanya tempat dan arah maka benarlah kewujudan Allah itu setelah mencipta tempat Dia tidak bertempat dan tidak memerlukan arah.
Dalil ini semua, bukanlah menafikan kewujudanNya sepertimana yang dituduh oleh ajaran yang menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk pada zaman ini iaitu ajaran Wahhabiyah.

Kita mengangkat tangan ke langit ketika berdoa bukanlah kerana Allah berada dilangit akan tetapi kita mengangkat tangan ke langit kerana langit merupakan kiblat bagi doa, tempat terkumpulnya banyak rahmat dan berkat. Sepertimana kita menghadap ke arah ka'bah ketika solat tidaklah bererti Allah itu berada di ka'bah akan tetapi kerana ka'bah itu kiblat bagi solat. Inilah yang telah dinyatakan oleh para ulama Islam.

Saidina Ali (semoga Allah meredhoinya) turut menjelaskan:
" Akan kembali satu kaum dari umat ini ketika hampir hari kiamat kelak mereka menjadi kafir, lantas sesorang lelaki bertanya: ' Wahai amirul mu'minin! Kekufuran mereka itu disebabkan apa? kerana mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama atau mengingkari sesuatu dalam agama?' Saidina Ali menjawab: Kekufuran mereka kerana mengingkari sesuatu dalam agama iaitu mereka mengingkari Pencipta mereka dengan menyifatkan Pencipta itu berjisim dan beranggota". Diriwakan oleh Ibnu Al-Mu'allim Al-Qurasyi dalam kitabnya berjudul Najmul Muhtady Wa Rojmul Mu'tady.
Berkata Imam Zainul Abidin (semoga Allah meredhoinya): " Engkaulah Allah yang tidak diliputi tempat". Diriwayat oleh Al-Hafiz Az-Zabidy.

Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitabnya Fiqhul Absat: " Allah ta'ala telah sedia ada tanpa tempat, Allah telah sedia wujud sebelum mencipta makhluk, dimana sesuatu tempat itu pun belum wujud lagi, makhluk belum ada lagi sesuatu benda pun belum ada lagi, dan Allah lah yang mencipta setiap sesuatu.

Dinyatakan dengan sanad yang sohih oleh Imam Baihaqi dari Abdullah bin Wahb berkata:
" Ketika kami bersama dengan Imam Malik, datang seseorang lelaki lantas bertanya: 'Wahai Abu Abdillah Imam Malik! 'Ar-Rahman 'Alal Arasyi Istawa' bagaimana bentuk istiwa Allah? maka Imam Malik kelihatan merah mukanya kemudian beliau mengangkat wajahnya lantas berkata: 'Ar-Rahman 'Alal Arasyi Istawa' ianya sepertimana yang telah disifatkanNya dan tidak boleh ditanya bentukNya kerana bentuk itu bagi Allah adalah tertolak dan aku tidak dapati engkau melainkan seorang pembuat bid'ah! maka keluarkan dia dari sini".
Manakala riwayat yang berbunyi 'dan bentuk bagi Allah itu adalah dijahili' ianya riwayat yang tidak sohih.

Imam kita Imam Syafie (semoga Allah meredhoinya) telah berkata: " Barangsiapa mempercayai Allah itu duduk di atas Arasy maka dia telah kafir". Diriwayatkan oleh Ibnu Al-Mu'allim Al-Qurasyi dalam kitabnya Najmul Muhtady Wa Rojmul Mu'tadi.

Berkata juga Imam Ahmad bin Hambal (semoga Allah meredhoinya) : " Barangsipa yang mengatakan Allah itu jisim tidak seperti jisim-jisim maka dia juga jatuh kafir".Diriwayat oleh Al-Hafiz Badruddin Az-Zarkasyi dalam kitabnya Tasynif Al-Masami'.

Berkata Imam Ahli Sunnah Wal jamaah Imam Abu Hasan Al-Asy'ary dalam kitabnya berjudul An-Nawadir: " Barangsiapa yang mempercayai Allah itu jisim maka dia tidak mengenali Tuhannya dan sesungguhnya dia mengkufuri Allah".
Maka jelaslah dari kenyataan Imam Al-Asy'ary tadi bahawa kitabnya yang berjudul Al-Ibanah pada hari ini telah ditokok tambah.


Berkata Imam Abu Ja'far At-Tohawi yang mana beliau ini merupakan ulama As-Salaf As-Soleh: " Maha suci Allah dari mempunyai ukuran, penghujung, sendi, anggota dan benda-benda kecil dan Allah tidak diliputi dengan mana-amana arah enam sepertimana makhlukNya".
Beliau berkata lagi: " Barangsiapa yang menyifatkan Allah dengan sifat-sifat makhluk maka dia jatuh kafir".
Antara sifat makhluk adalah bergerak,duduk diam, turun, naik, bersemayam, duduk, berukuran, bercantum,berpisah,berubah, berada di tempat,berarah, berkata-kata dengan huruf, suara, bahasa dan lain-lain.

Telah dinukilkan oleh Imam Al-Qorofy dan Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitamy dan selainya menukilkan kenyataan bahawa: " Imam Syafie, Imam Malik Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah (semoga Allah meredhoi mereka) berkata bahawa jatuh hukum kufur bagi sesiapa yang berkata Allah itu ber-arah dan berjisim dan benarlah penghukuman Imam-imam tadi".

Wahai seluruh orang-orang muslim.
Kami mengakhiri penjelasan ini dengan ungkapan kaedah yang dinyatakan oleh Imam Ahmad Bin Hambal (semoga Allah meredhoinya): " Segala yang terbayang dibenak fikiranmu maka ketahuilah bahawa Allah tidak sedemikian" . Dan ini merupaka kaedah yang telah disepakati disisi seluruh ulama Islam.

Berkata Imam kita Abu Bakar (semoga Allah meredhoinya): "Merasai diri itu lemah dari membayangi zat Tuhan maka itulah tauhid mengenal Tuhan dan memcari-cari serta membayangkan zat Tuhan itu pula adalah kufur dan syirik".

Alhamdulillah kita berada dalam akidah yang benar ini, memohon kepada Allah ta'ala agar mematikan kita diatas pegangan ini. Amin ya Arhamar Rohimin Wa akhiru da'wana 'anil hamdulillahi robbil 'alamin.

Diterjemah oleh:
Ustaz Rasyiq Alwi,
www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

2. Kata-kata Ulama' Muktabar mengenai Allah tidak bertempat :

قال مصباح التوحيد ومصباح التفريد الصحاالجليل والخليفة الراشد سيدنا علي رضي الله عنه (40 هـ) ما نصه : (كان- الله- ولا مكان، وهو الان على ما- عليه- كان اهـ. أي بلا مكان. (( الفرق بين الفرق لأبي منصور البغدادي [ ص / 333 ]

وقال أيضا : "إن الله تعالى خلق العرش إظهارًا لقدرته لا مكانا لذاته" أ هـ. (( الفرق بين الفرق لأبي منصور البغدادي [ ص / 333 ] ))

وقال أيضا : (من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود" اهـ. (المحدود: ما له حجم صغيرا كان أو كبيرا) . [حلية الأولياء: ترجمة علي بن أبي طالب (73/1)

وقال التابعي الجليل الإمام زين العابدين علي بن الحسين بن علي رضي الله عنهم (94 هـ) ما نصه (4): (أنت الله الذي لا يحويك مكان" أ هـ. [إتحاف السادة المتقين (4/ 380)

وقال أيضا : ( أنت الله الذي لا تحد فتكون محدودا ) اهـ. [إتحاف السادة المتقين (4/ 380) ]

قال الإمام المجتهد أبو حنيفة النعمان بن ثابت رضي الله عنه (150 هـ) أحد مشاهير علماء السلف إمام المذهب الحنفي ما نصه : " والله تعالى يُرى في الآخرة، ويراه المؤمنون وهم في الجنة بأعين رؤوسهم بلا تشبيه ولا كميّة، ولا يكون بينه وبين خلقه مسافة " اهـ. [ ذكره في الفقه الاكبر، انظر شرح الفقه الاكبر لملا علي القاري (ص/ 136- 137) ]

8- وقال أيضا في كتابه الوصية : " ولقاء الله تعالى لأهل الجنة بلا كيف ولا تشبيه ولا جهة حق " اهـ. [ الوصية: (ص/ 4)، ونقله ملا علي القاري في شرح الفقه الاكبر (ص/138)

وقال أيضًا : " قلت: أرأيت لو قيل أين الله تعالى؟ فقال- أي أبو حنيفة-: يقال له كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء، وهو خالق كل شىء" اهـ. [ الفقه الأبسط ضمن مجموعة رسانل أبي حنيفة بتحقيق الكوثري (ص/ 25)

وقال أيضا : "ونقر بأن الله سبحانه وتعالى على العرش استوى من غير أن يكون له حاجة إليه واستقرار عليه، وهو حافظ العرش وغير العرش من غير احتياج، فلو كان محتاجا لما قدر على إيجاد العالم وتدبيره كالمخلوقين، ولو كان محتاجا إلى الجلوس والقرار فقبل خلق العرش أين كان الله، تعالى الله عن ذلك علوا كبيرا" اهـ.

[ كتاب الوصية، ضمن مجموعة رسائل أبي حنيفة بتحقيق الكوثري (ص/ 2) ، وملا علي القاري في شرح الفقه الاكبر (ص/ 75) عند شرح قول الامام: ولكن يده صفته بلا كيف"]

وهذا رد صريح على المشبهة المجسمة أدعياء السلفية الذين يسمون أنفسهم الوهابية ويزعمون أن السلف لم يصرحوا بنفي الجهة عن الله تعالى. فإن أبا حنيفة رأس من رؤوس السلف الذين تلقوا العلم عن التابعين، والتابعون تلقوا العلم عن الصحابة رضي الله عنهم، فاحفظ هذا أخي المسلم فإنه مهم في رد افتراءات الوهابية على علماء السلف

وأما تكفير الإمام أبي حنيفة لمن يقول: "لا أعرف ربي فى السماء أو في الأرض "، وكذا من قال: "إنه على العرش، ولا أدري العرش أفي السماء أو في الأرض " فلأن قائل هاتين العبارتين جعل الله تعالى مختص بحيز وجهة ومكان، وكل ما هو مختص بالجهة والحيز فإنه محتاج محدث بالضرورة. وليس مراده كما زعم المشبهة إثبات أن السماء والعرش مكان لله تعالى، بدليل كلامه السابق الصريح في نفي الجهة والمكان عن الله

Abd Ydy : Peliharalah aqidah dari gejala penyelewangan yang tidak sedikit membahayakan keimanan dan kepercayaan kita kepada Allah Jalla wa 'Ula'. Aqidah merupakan akar umbi kepada Islam yang kita anuti ini. Jika tidak dijaga dan di ambil cakna dengan molek boleh membawa diri kita ke lembah kehinaan dan kekufuran yang membawa ke dalam neraka. Na'uzubillahi min zalik.

Siiru 'ala barakatillah


Khutbah Aidil Adha 1431H / 2010M

| |

Khutbah Aidil Adha 1431H / 2010M*

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 2 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ للهِ الَّذِي جَعَلَ يَوْمَ عِيْدِ الأضْحَى أَسْعَدَ الأياَّمِ لنَاَ. وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ...... فَيَا إِخْوَانِيْ ! اتَّقُوْا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Allahu Akbar 3x,

Selamat menyambut hari raya Aidil Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat hari raya korban yang juga dipanggil Aidil Akbar bermakna hari raya besar. Sepatutnya hari raya korban lebih dirasai kemeriahan sambutannya berbanding hari raya puasa yang juga dipanggil Aidil Asghor iaitu hari raya kecil. Sesungguhnya Aidil Adha mengingatkan kita kepada Saiyidina Omar bin Al-Khattab yang memberikan ucapan beliau ; “Sesungguhnya Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, lalu ia disambut dengan Aidil Fitri. Manakala hari penurunan terakhir Al-Quran pula ialah pada bulan Zulhijjah ketika Rasulullah s.a.w. menunaikan ibadah haji yang terakhir (Haji Wada’), maka ia disambut dengan Aidil Adha”. Maka jelaslah Aidil Adha adalah hari merayakan kesyumulan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang mengatur, menyusun segala aspek kehidupan manusia, akidah, syariat, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya.

Muslimin/mat yang dirahmati Allah S.W.T,

Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan tersendiri di mana al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah, ibadat korban dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat secara serentak pada bulan-bulan lain. Rasulullah s.a.w sendiri begitu gemar untuk berpuasa sunat pada 9 awal bulan Zulhijjah terutama pada hari Arafah. Kita juga disunatkan untuk bertakbir bermula dari waktu subuh hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah yang menunjukkan bagaimana besarnya kelebihan dan sambutan hari raya korban berbanding hari raya puasa tetapi kita sebaliknya di mana lebih meriah menyambut Aidil Fitri daripada Aidil Adha.

Pada hari ini kita dituntut untuk melaksanakan ibadah korban bagi sesiapa yang berkemampuan. Walaubagaimanapun, Jika kita lihat kembali di dalam sejarah Islam, korban yang pertama dilakukan di atas muka bumi ialah korban kedua-dua anak Nabi Adam a.s. sebagaimana yang disebut kisahnya di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 27 :

Maksudnya : “Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenar kepada mereka tentang kisah dua anak Adam. Ketika keduanya mempersembahkan korban, maka korban salah seorang dari mereka diterima (Habil) dan seorang lagi tidak diterima (Qabil). Dia (Qabil) berkata sungguh aku pasti membunuhmu. Dia (Habil) berkata : sesungguhnya Allah hanya menerima amal dari orang yang bertaqwa.”

Kemudian kisah abadi pengorbanan seorang ayah yang bernama Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah agar menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s. Firman Allah dalam surah as-saffat ayat 102 :

فلما بلغ معه السعي قال يا بني اني اري في المنام انيّ اذبحك فانظر ماذا تري قال يابت افعل ما تؤمر ستجدنيّ ان شاء الله من الصابرين

Maksudnya : “Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, Nabi Ibrahim berkata : wahai anakku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka apakah pendapatmu? Dia Nabi Ismail menjawab : wahai ayahku lakukanlah apa yang diperintahkan Allah padamu, insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang bersabar.”

Seterusnnya sunnah ini diteruskan oleh Rasulullah saw dan umat baginda. Persoalannya apakah hikmah di sebalik ibadat ini disyariatkan?

Di dunia ini wujud manusia yang merasakan imannya telah sempurna dengan melakukan ketaatan kepada Allah dalam perkara-perkara zahiriah, tetapi di dalam hatinya masih ada kecintaan kepada selain Allah. Maka ibadah korban sebenarnya mengajar kita untuk mengikis kecintaan kepada selain Allah.

Nabi Ibrahim telah membuktikannya. Cintanya kepada Nabi Ismail begitu mendalam, tetapi kecintaan kepada Allah lebih dari itu. Begitu juga korban yang dilakukan oleh kedua-dia anak Nabi Adam di mana Allah hanya menerima korban anaknya yang benar-benar ikhlas kepada Allah dan terbukti keikhlasannya apabila memilih yang terbaik untuk dikorbankan demi Allah semata-mata.

Firman Allah dalam surah al-hajj ayat 37 :

لن ينال الله لحومها ولا دماؤها واكن يناله التقوي منكم

Maksudnya : “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu.”

Maka setiap orang yang melakukan ibadat korban hendaklah menilai diri, adakah ia benar-benar telah berjaya mengikis kecintaan kepada harta benda, kecintaan kepada pujian manusia di dalam hati masing-masing.

Selain itu, syariat ibadah korban juga bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan bersyukur atas nikmatNya. Allah telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga termasuklah nikmat hidup, nikmat iman, nikmat Islam, nikmat penglihatan, pendengaran, nikmat harta dan lain-lain. Semuanya mewajibkan kita bersyukur kepda Allah Jalla wa ‘Ulah.

Oleh sebab itu, ibadah korban merupakan salah satu bentuk cara bersyukur, yang seorang hamba boleh mendekatkan diri kepada Allah. Seseorang itu juga melaksanakan korban kerana menjunjung perintah dalam al-quran dan inilah juga bukti dia bersyukur dan menerima perintah Allah Ta’ala.

Firman Allah dalam surah al-kauthar ayat 2 :

فصل لربك وانحر

Maksudnya : “Oleh sebab itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda syukur.”

Sebab itu korban atau udhiyyah dita’rifkan ulama sebagai : “apa yang di sembelih daripada jenis binatang ternakan sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala bermula pada hari raya sehingga akhir hari tasyrik.” (al-Mughni Muhtaj, jil. 6, hlm. 122)

Berdasarkan ta’rif di atas, kita dapat simpulkan bahawa tujuan utama dalam ibadah korban ini adalah semata-mata untuk menjadikannya sebagai satu wasilah (jalan) mendekatkan diri kepada Allah swt. Malahan semua ibadah yang di syariatkan dalam Islam mempunyai objektif utama ini iaitu objektif taqarrub / mendekatkan diri kepada Allah.

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya : “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

خطبة كدوا

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ.......فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Ketika mengingati pengorbanan hebat nabi Ibrahim yang terpaksa menyembelih anaknya nabi Ismail melalui suatu arahan dalam mimpi benarnya maka umat Islam pada hari ini mesti disuburkan kembali rasa yakin tentang keadilan dan kehebatan sistem Islam dalam menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kira pernah menyaksikan bagaimana Suraqah bin Malik terlalu yakin dengan janji nabi yang belum lagi menjadi pemimpin Daulah Islamiah di Madinah bahawa dia bakal dikalungkan dengan gelang kerajaan Kisra, Parsi ditambah lagi dengan keyakinan para sahabat yang lain sehingga kerajaan Islam yang mulanya hanya dianggap kecil akhirnya berjaya menumbang Empayar Kristian, Rom dan Majusi, Parsi pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab seterusnya menguasai Empayar Hindu, India dan China. Oleh itu bila umat Islam berjaya menyuburkan rasa yakin terhadap janji Allah untuk membebaskan Masjid Aqsa maka kemenangan semakin dekat dan hampir

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Sempena berada pada hari raya korban juga kita mesti meningkatkan tahap pengorbanan dalam memperjuangkan Islam dan membantu saudara seagama. Jika semasa menyambut Aiduil Fitri kita diwajibkan membayar zakat untuk meringankan bebanan saudara seagama begitulah kedatangan Aidil Adha yang digalakkan kita mengerjakan ibadat korban untuk diagihkan daging kepada saudara yang memerlukan di mana ia semua bertujuan melahirkan masyarakat yang penyayang dan mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama yang lain. Ringankanlah bebanan dan penderitaan mereka terutama dalam susana hari raya di mana Allah pasti meringankan bebanan kita di akhirat kelak.


ABD YDY IBN YSF,

11:10 MLM, 16112010

KG BETONG SALOR

Sumber :

1. Artikel : ‘Sembelihlah Kecintaanmu’, Majalah Solusi Isu 25.

2. Artikel : ‘Sambut Aidiladha Dengan Udhiyyah’, Majalah Solusi Isu 25.

3. Teks Khutbah Aidiladha 1431H, YB Ust Baihaqi Atiqullah.

*Disampaikan pada 10 Zulhijjah 1431H / 17 November 2010 di Surau Kg. Betong Salor jam 8.30 pagi.


Erti Disebalik Ibadah Korban

| Selasa, 16 November 2010 |

Assalamu'alaikum warahmatullah..


Moga semua berada dalam kebahagian yang hakiki, dan ucapan Salam Aidil Adha dari ana di bumi barakah al-Kalantani buat sahabat semua. Hari ini 9 Zulhijjah 1431H bersamaan 16 November 2010M adalah hari 'arafah mengikut perkiraan di negara Malaysia. Maka, kita disunatkan berpuasa pada hari ini kerana ia sebahagian daripada sunnah-sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, serta mendapat ganjaran yang besar bagi mereka yang berpuasa pada hari ini.


Sebagaimana hadis riwayat Muslim dari Abi Qatadah r.a. yang bermaksud :

Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari 'arafah (9 Zulhijjah), baginda menjawab : "(Berpuasa pada hari 'arafah) menghapuskan dosa (kecil) setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."


Hadis ini, nak bagitau kepada kita tentang kelebihan berpuasa pada hari 'arafah dengan kelebihan penghapusan dosa selama 2 tahun, iaitu setahun yang lepas dan setahun yang akan datang. Awas, jangan kita silap faham pulak tentang penghapusan dosa tersebut. Ulama menyebut, yang dikehendaki dengan penghapusan dosa dalam hadis ini adalah dosa-dosa kecil sahaja, sebab nak hilangkan dosa besar hanya melalui taubat kepada Allah SWT dan untuk hapuskan dosa kecil pula melalui amalan-amalan kebaikan, macam yang tersebut dalam al-Quran :

'Innal Hasanaati yuzhibnas sayyiaat', yang bermaksud "Sesungguhnya kabaikan-kabaikan itu menghapuskan dosa-dosa kecil." (ana lupa dah surah ape ayat berapa, sila rujuk al-Quran ye).


Ini menunjukkan besar kelebihannya orang yang berpuasa pada 9 Zulhijjah, jadi rugilah sape-sape yang tak berpeluang untuk berpuasa pada hari ini. Orang yang berpuasa pada hari 'asyura diberi ganjaran penghapusan dosa setahun yang lalu sahaja (mafhum hadis riwayat Muslim) berbanding berpuasa 9 Zulhijjah. Maknanya lebih besar ganjarannya berbanding berpuasa pada hari 'asyura yang hanya dihapuskan dosa setahun (hadis sohih lagi tu). Fikir-fikirkanlah...


Disini ana selitkan sedikit mutiara-mutiara berharga mengenai ibadah korban untuk tatapan sahabat sekalian, moga mendapat manfaat di sisi Allah Rabbul Jalil.

******************

Hikmah Korban


Korban dan akikah merupakan ibadah dan amalan yang mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadilat dan implikasinya. Malangnya masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman terhadapnya. Tidak kurang yang memandang ringan terhadap ibadah ini. Mereka mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan korban dan akikah ini.


Penjelasan dan pengisian yang terkandung dalam kitab ini dapat membantu kefahaman masyarakat tentang ibadah korban serta akikah. Malah akan timbul keinginan atau meningkatkan kesungguhan untuk sama-sama mencari pahala daripada kedua-dua ibadah ini.


Antara persoalan yang sering terdengar dalam masyarakat ialah:

• Apakah sebenarnya korban dan akikah itu?

• Apakah perbezaan antara korban dan akikah?

• Apakah hukum melakukannya?

• Berapa kali kita dituntut melakukan korban sepanjang hayat kita?

• Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dikorbankan?

• Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk korban dan sebahagian lagi untuk akikah?

• Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?


Penyembelihan Korban


Korban ialah penyembelihan binatang yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat sunat Aidiladha) dan pada tiga hari tasyrik berikutnya iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. Korban hendaklah diniatkan sebagai ibadah kepada Allah SWT dan tidak boleh untuk tujuan selain itu. Syiar ini adalah sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW.


Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak memintaminta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.”

(Surah al-Hajj 22: 36)


“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.”

(Surah al-Kawthar 108: 2)


Daripada Aisyah r.ha. Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) korban itu.”

(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)


Zaid bin Arqam berkata: “Mereka telah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakahudhiyyah (korban) itu?’ Nabi Muhammad SAW menjawab: ‘Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.’ Mereka bertanya lagi: ‘Apakah ia untuk kita?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.’ Mereka bertanya:‘Bagaimana bulu yang halus pula?’ Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:‘Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.’”

(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)


Hukum Korban


Korban hukumnya sunat mu’akkad (sunat yang dituntut) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

• Islam.

• Merdeka (bukan hamba).

• Baligh lagi berakal.

• Mampu untuk berkorban.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Aku disuruh berkorban dan ia sunat bagi kamu.”

(Riwayat al-Tirmizi)


“Telah diwajibkan kepadaku korban dan tidak wajib bagi kamu.”

(Riwayat al-Daruqutni)


Walaupun hukum berkorban itu sunat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya.”


Hikmah Dan Fadilat Korban


• Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.

• Mendidik jiwa ke arah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

• Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan Allah SWT.

• Menghapuskan dosa dan mengharap keredaan Allah SWT.

• Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.

• Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.


Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Muliakanlah korban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu meniti titian pada hari kiamat.”


Siiru 'ala Barakatillah..


Sumber & Rujukan :

- Buku Sabil al-Muhtadin terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

- Kitab Riadhus Solihin, Imam Nawawi.


;

Kenali Ulama'

Yaumul 'eid 2009

Syeikh Ibnu Ata'illah As-Sakandari menyatakan :
"Raja' (harapan) iaitu kehendak yang diiringi dengan amal. Kalu tidak, disebut umniyyah ( angan-angan)".
Harapan yang diakui dalam Islam ialah harapan yang disertakan dengan amalan. Sekiranya tidak disertai dengan amalan, ia merupakan sejenis angan-angan kosong yang lebih hampir kepada mimpi di siang hari sahaja. Begitu juga dengan seseorang pejuang Islam yang ingin merubah sistem jahiliyah ini ke arah sistem Islam seluruhnya, namun tidak pernahpun bergerak untuk merealisasikan hasratnya itu, keinginannya itu hanyalah angan-angan kosong sahaja.


Ape Ade Pade Name

ABDUL YADIY
AAmanah
BBijaksana
DDinamik
UUntung
LLemah-lembut
YYakin
AAlim
DDedikasi
IIkhlas
YYakin
Apa ada pada nama?

Facebook Badge

~Alirkanlah Dlm Dirimu Cinta Hanya Pd-NYA~

Silibus Tarbiah Usrah

Silibus Tarbiah Usrah
Satu Lambang Komitmen Sekelompok UMMAH Menggerakkan Tarbiah Generasi Baru ISLAM

~Anjung Sahabat~

Soutul Ukhuwah


ShoutMix chat widget

Pengikut

Qalbun Salim