Bagaimana Menghadapi Kritikan Pedas

| Jumaat, 22 Januari 2010 |

Assalamu'alaikum..buat sahabat sekalian.

Ana titipkan artikel dibawah buat pimpinan organisasi yang senantiasa berhadapan dengan kritikan samada daripada dalam organisasi sendiri atau dari luaran organisasi. Moga ia menjadi titik tolak perubahan buat pimpinan semua ke arah yang lebih baik untuk merealisasikan matlamat perjuangan yang diperjuangkan masing-masing.

***************

Orang-orang yang bodoh, keras kepala, tidak beriman kepada Allah berani mencela Allah yang Maha Pemberi Rezeki dan yang Maha Mulia. Mereka mencaci Allah yang Maha Indah, Maha Sempurna dan Maha Mulia. Padahal tidak ada Tuhan selainNya dan Dialah yang Maha Kuasa di atas segala-galanya dan Maha Sempurna. Mereka menyempurnakan sifat-sifat bodoh, keras kepala dan kekufuran melalui pelbagai perbuatan dan kata-kata yang mencela Allah. Mereka inilah golongan yang paling malang dan rugi sama ada di dunia mahu pun akhirat kelak.

Bagaimana jika cacian dan hinaan itu dilontarkan kepada anda sedangkan anda adalah makhluk yang tidak pernah lepas daripada kesalahan dan kekhilafan? Sebab setiap orang pasti akan menerima kritikan keras dan pedas daripada orang lain sepanjang hidupnya. Ini kerana dalam hidup kita, tidak semua orang akan menyokong dan memuji kita. Selama anda mampu member , menemukan sesuatu yang baru dalam hidup dan berbuat baik kepada orang lain, pasti aka nada kritikan atau celaan daripada orang lain terhadap apa yang anda lakukan.

Mereka yang tidak senang terhadap anda tidak akan pernah diam, kecuali jika anda menyusun tangga ke langit atau membuat terowong ke dasar bumi untuk lari daripada mereka. Tapi, selama anda bersama mereka yang tidak senang dengan apa yang anda lakukan pasti anda akan menuai celaan dan cacian di setiap langkah dan gerakan yang nada alkukan. Mereka ingin anda menangis, terbaring di tempat tidur dan bahkan mereka ingin anda mati saja. Itulah hakikat yang terpaksa kita hadapi dalam hidup ini, kerana tidak semua akan menjadi senang untuk kita waima kita sentiasa berusaha menjadi seorang yang tulus dan mulia pekertinya. Hatta usaha kita menunaikan perintah Allah dalam hidup ini pun pasti akan dicela oleh mereka yang ingkar.

Orang yang tidak memiliki kelebihan dan kemajuan hidup tidak akan pernah diganggu oleh orang lain. Ibarat anjing yang mati tidak akan pernah dicaci dan dihina. Akan tetapi jika anda melebihi mereka dari segi kebaikan, ilmu, tingkah laku, harta, usaha dan sebagainya maka itulah alasan yang menjadi punca kenapa mereka membenci dan menghina anda. Mereka memandang anda sebagai orang yang berdosa dan tersesat yang taubatnya tidak harus diterima hingga anda meninggalkan segala yang menjadi kelebihan dan melepaskan segala kenikmatan yang diberikan Allah dan meniggalkan segala sifat terpuji yang anda miliki.

Setelah itu tinggallah diri anda seperti orang yang bodoh, gagal, mengalami tekanan jiwa dan sebagainya. Inilah sebenarnya yang mereka ingin lihat berlaku kepada diri anda. Mereka ingin melihat anda jatuh dan kehilangan segala nikmat kurniaan yang dianugerahkan Allah. Mereka ingin melihat segala ‘kelebihan’ yang Allah kurniakan kepada anda sirna sekali gus mereka akan merasakan bahawa anda tiada apa-apa lagi kelebihan berbanding mereka.

Oleh sebab itu, tenanglah dan jangan tanggapi apa kata mereka yang tidak senang kepada anda dengan emosi hingga boleh mengganggu diri anda. Tegarlah seperti gunung. Sabarlah menerima segala hinaan dan cacian mereka. Anggap sahaja itu semua kata-kata daripada mereka yang jauh daripada petunjuk atau hidayah Allah. Letakkan diri dalam keadaan yang ‘kebal’ daripada segala kata-kata jahat itu, agar segala kata-kata dan perlakuan mereka tidak sesekali mendorong kita untuk berbuat sesuatu yang di luar batasan agama. Sebaliknya, jadikan segala kata dan perlakuan jahat mereka itu sebagai pendorong untuk anda terus menjadi seorang insane yang lebih baik. Jadilah seperti batu karang yang kuat dan tegar meski ombak dan badai selalu membadai.

Jika anda mendengarkan perkataan mereka dan kemudian menanggapinya dengan emosi hingga larut dalam permainan mereka, maka itu bermakna anda telah membantu dalam menjayakan keinginan jahat mereka. Anda telah membantu mereka dalam menyakiti dan merosakkan diri anda sendiri, kecuali anda menjawab perkataan dan cacian mereka dengan cara yang baik.

Sebaik-baiknya berilah kemaafan kepada mereka. Itulah yang disarankan oleh agama. Itulah cara terbaik untuk menyedarkan mereka, sekali gus membantu mereka kembali menemui kebenaran yang selama ini terpisah daripada segala kata dan perlakuan hidup mereka. Sebaliknya, jika nada ingin menentang, lakukanlah dengan cara yang lembut. Elakkan daripada bertindak balas dengan cara yang tidak sepatutnya. Ingatlah bahawa air itu boleh memadamkan kemarakan api yang panas. Ingatlah, jangan pernah merasa terbeban dan terpukul dengan apa yang mereka katakana.

Sesungguhnya celaan pedas yang dilontarkan kepada anda merupakan gambaran kehormatan yang anda miliki. Anda boleh melihat seberapa besar kedudukan anda melalui celaan yang dilontarkan oleh mereka itu. Justeru, segala celaan pedas itu tidak sesekali akan melunturkan segala kehormatan yang anda miliki selagi mana anda tidak bertindak bertentangan dengan apa yang telah disarankan oleh agama. Sebaliknya, segala celaan pedas itu akan dapat meningkatkan lagi kehormatan andai ia diladeni dengan kesabaran dan sarat nilai-nilai keimanan.

Ingatlah! Anda tidak akan boleh menutup mulut orang lain. Begitu juga anda tidak akan pernah boleh mengikat lidah orang lain agar mereka berhenti berbicara dan melontarkan segala kata-kata cacian dan celaan. Akan tetapi anda boleh menguburkan segala hinaan dan cercaan mereka, menyingkirkannya dan membiarkannya tanpa peduli. Katakanlah kepada mereka seperti apa yang tertera dalam firman Allah SWT :
قل موتوا بغيظكم
“Katakanlah (kepada mereka) : Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.” [Ali-‘Imran : 119]

Anda mungkin boleh menyumbat mulut mereka yang kotor dengan kata-kata hina itu melalui cara menambah kebaikan anda kepada orang lain, menyelesaikan segala urusan dan pengajian anda serta memperbetulkan segala kesalahan yang pernah anda lakukan. Mungkin dengan cara ini ia akan mematikan segala ikhtiar jahat mereka sehingga mereka sendiri berputus asa dengan apa yang telah mereka lakukan kepada anda selama ini.

Jika anda ingin diterima, dicintai, tidak memiliki cela ataupun kesalahan sedikit pun di mata orang lain, itu sama ertinya anda menginginkan sesuatu yang mustahil atau berangan-angan yang melampaui batas. Apakah tidak cukup bagi anda Allah yang Maha Kuasa atas segala-galanya? Dialah yang Maha Pemberi Berkat kepada sekalian makhluk.

Allah berpesan dalan sebuah hadis qudsi : “Aku dihina oleh anak Adam padahal yang demikian tidaklah wajar bagi mereka. Aku dicaci oleh anak Adam padahal yang demikian tidaklah wajar bagi mereka. Jika mereka menghina Aku maka itu sama ertinya dengan menghina masa. Aku adalah masa yang menggantikan malam dan siang. Adapun bagi mereka yang menghina Aku, Aku akan menjawab orang yang menghina Aku yang mengatakan, “Aku memiliki isteri dan anak,” Aku akan berkata, “ Aku adalah Allah yang memang tidak memiliki isteri dan anak.”

Inilah Allah yang Maha Mulia lagi Maha Sempurna. Dengan segala kesempurnaanNya masih ada orang yang mencela dan menghinaNya. Begitu juga Rasulullah SAW. Baginda ketika sampai kepada darjat kesempurnaan seorang insan juga dihina, dicerca, dimaki dan menerima layanan dan perlakuan kasar lainnya daripada golongan yang tidak pernah ingin menerima syiar Islam yang dibawanya. Lantas, pelbagai celaan, hinaan dan fitnah telah dilontarkan oleh golongan kafir kepada baginda. Orang kafir ketika itu menuduh baginda dengan tukang sihir, tukang syair, tukang tenung, tukang ramal, pendusta dan pelbagai cacian dan hinaan lainnya. Semua itu kerana golongan kafir tidak pernah ingin menerima segala ajaran yang dibawa baginda.

Allah lalu menurunkan ayat kepada baginda :
فاصفح الصفح الجميل
“Maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.” [al-Hijr : 85]

Dalam firmanNya yang lain pula Allah menitipkan :
فاصبر صبرا جميلا
“Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik.” [al-Ma’arij : 5]

++Siiru 'ala Barakatillah++

Disalin dari : Buku 'Supaya Gelisah Menjadi Ibadah'.


Berilah Sumbangan Untuk Islam

| Rabu, 13 Januari 2010 |

Salam Muharram buat sahabat sahabiah sekalian, segala pujian untukMu Ya Allah Pemilik sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ridwanullah alaihi ajma’in serta para mujahid mujahidah yang hempas pulas memperjuangakan Islam siang dan malam.

Alhamdulillah, atas nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan Allah atas hambaNya untuk kita sama-sama bersyukur kerana masih lagi berada diatas landasan yang betul.


Disini ana nak bawakan satu ungkapan dari Ulama’ tersohor almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor :

“Jangan biarkan sehari dalam hidupmu berlalu tanpa memikirkan mengenai Islam.”


Ini suatu perkara yang perlu diambil ihtimam oleh para mahasiswa Islam untuk berfikir sejenak. Adakah sehari dalam hidupku, aku berfikir mengenai Islam? Sejauhmanakah aku berfikir tentang masalah umat islam? Apakah penyelesaian terhadap masalah-masalah umat Islam sekarang? Apakah sumbanganku terhadap Islam jika aku tidak mampu berfikir walaupun sejenak? Bentuk sumbangan yang macam mana yang aku mampu untuk membantu Islam dan perjuangan Islam? Persoalan ini perlu dijawab oleh kita selaku mahasiswa Islam. Perlu diingat sumbangan yang diberikan adalah untuk mencapai kemenangan Islam.


Jika kita lihat dalam sirah perjuangan sahabat-sahabat, terutamanya dalam peristiwa hijrah bersempena dengan bulan muharram sekarang ini. Terlalu banyak teladan yang boleh diambil tentang sumbangan sahabat semasa berlakunya hijrah.


Dalam hijrah ada sumbangan dari pemuda yang diberikan oleh saidina Ali. Beliau sanggup untuk tidur di atas katil Nabi walaupun beliau tahu ia akan bertarung dengan kematian dirinya. Tapi macam manakah sikap pemuda sekarang, apabila berhadapan mehnah antara hidup dan mati. Sanggupkah kita menghadapinya. Kebanyakkan pemuda hari ini, akan selidik dahulu program yang nak disertai , seronok ke, tidur dalam bilik yang ada katil ke dalam khemah dan sebagainya. Betapa lemahnya pemuda akhir zaman.


Tidak ketinggalan juga dalam peristiwa hijrah, sumbangan dari kaum muslimat yang bernama Asma’ binti Abu bakar. Sanggup berjalan naik atas bukit pada waktu malam yang gelap seorang diri tanpa cahaya lampu, semata-mata untuk memberi makanan kepada Nabi dan Abu Bakar. Walaupun tugas ini terlalu berat bagi seorang muslimat, tapi Asma’ tetap melaksanakan walaupun mengetahui bahaya yang akan dihadapi. Bahkan pada waktu tersebut beliau sedang sarat mengandung. Wahai srikandi Islam, sanggupkah anda menyahut cabaran dalam menegakkan Islam ini walaupun dihadapan sana akan anda tempuh pelbagai tribulasi. Tugas ini terlalu berat dan melalui masa yang panjang. Dalam perjuangan ini kita tidak akan dihampar dengan kapet merah dihadapan tapi batu-batu dan duri-duri yang tajam akan menghadang anda. Sanggupkah anda menggalas tanggungjawab sebagai pewaris perjuangan nabi, menjadi sebagaimana mujahidah terdahulu.


Ana rasa cukup sekadar dua kisah tersebut untuk menjadi teladan bagi Mahasiswa Islam untuk terus Istiqamah atas landasan perjuangan Islam. Jika terasa berat tugas ini untuk laksanakan, kita perlu sentiasa bermuhasabah dalam diri kemungkinan ia kesan dari dosa yang dilakukan. Mari sama-sama kita check, renung, muhasabah diri kita, agak-agak apa sumbangan yang aku nak berikan untuk memenangkan Islam samada secara langsung atau tidak langsung. Selaku Mahasiswa kita perlu mengambil masa sedikit untuk berfikir, jangan biarkan diri kita dihanyut oleh dunia yang melalaikan ini.


We move with Islam.

Siiru ‘ala barakatillah.


Zikrayat fi Hayati

| Selasa, 5 Januari 2010 |



Dalam operasi bersama LANDAS Sungai Petani

Program Bakti Siswa [ jd anak angkat Pak Lang & Mak Lang]
Bersama sahabat exco MPM semasa Majlis Penutup MPM sesi 08 / 09
Duk tulis nama di kaunter pendaftaran
Bersama Trainer ESQ Bapak Firdaus Djamari dan teman-teman beliauBeristirehat dan makan bersama sahabat Insaniah

Assalamu'alaikum..

Salam Maal Hijrah buat sahabat pembaca sekalian.
Sudah sekian lama ana menyepi, tidak meninta dalam blog ni. Maaf mohon dipinta dari sahabat sekalian. Mungkin sibuk sikit dengan program2 di Insaniah ni kot dan campur dengan takde internet kat rumah sewa sini sebab tak sempat nak bayar. Alhamdulillah, apapun sekarang Allah dah bagi kesempatan sedikit untuk ana isikan ruangan kosong dalam post ini.

Sekadar perkongsian kenangan yang lalu melalui gambar-gambar diatas. Banyak perkara pahit manis dalam meniti perjuangan hidup ini sebagai seorang mahasiswa di Insaniah. Apa pun ana ucapkan tahniah buat sahabat yang berjaya mendapat keputusan exam yang cemerlang sem lepas, dan yang tak berpeluang untuk meraih kejayaan yang cemerlang masih ada lagi kesempatan buat kalian semua, yang penting jangan putus asa sekerat jalan.

Sedikit pesanan dari seorang guru kepada muridnya :
"Kejayaan bukannya selalu dimiliki dan bukan juga atas usaha kita semata-mata. Soal yang paling utama dan pertama adalah keberkatan dariNYA. Bukannya nak menafikan titik peluh kita, tapi kita harus sedar adanya ALLAH yang mengatur segala-galanya di dunia ini. Biarpun sejuta ilmu kita dalami ia tetap tak berharga andai tiada keberkatan dariNYA kerana DIA empunya dan pemilik segala ilmu yang ada, samada yang tersebar di bumi mahupun yang terahsia di alam maya ini. Hadirkanlah dalam hati keinsafan hanya dengan ilmu yang menjadi wadah untuk kita mendekati ALLAH. Luruskanlah niat belajar untuk ALLAH dan kerana ALLAH."
Sahabat-sahabat pembaca sekalian, selamat belajar dan menempuh perjuangan di semester yang baru.

[Siiru 'ala Barakatillah]


;

Kenali Ulama'

Yaumul 'eid 2009

Syeikh Ibnu Ata'illah As-Sakandari menyatakan :
"Raja' (harapan) iaitu kehendak yang diiringi dengan amal. Kalu tidak, disebut umniyyah ( angan-angan)".
Harapan yang diakui dalam Islam ialah harapan yang disertakan dengan amalan. Sekiranya tidak disertai dengan amalan, ia merupakan sejenis angan-angan kosong yang lebih hampir kepada mimpi di siang hari sahaja. Begitu juga dengan seseorang pejuang Islam yang ingin merubah sistem jahiliyah ini ke arah sistem Islam seluruhnya, namun tidak pernahpun bergerak untuk merealisasikan hasratnya itu, keinginannya itu hanyalah angan-angan kosong sahaja.


Ape Ade Pade Name

ABDUL YADIY
AAmanah
BBijaksana
DDinamik
UUntung
LLemah-lembut
YYakin
AAlim
DDedikasi
IIkhlas
YYakin
Apa ada pada nama?

Facebook Badge

~Alirkanlah Dlm Dirimu Cinta Hanya Pd-NYA~

Silibus Tarbiah Usrah

Silibus Tarbiah Usrah
Satu Lambang Komitmen Sekelompok UMMAH Menggerakkan Tarbiah Generasi Baru ISLAM

~Anjung Sahabat~

Soutul Ukhuwah


ShoutMix chat widget

Pengikut

Qalbun Salim