Diriwayatkan dalam sebuah hadis yang mafhumnya : “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya).” [riwayat al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043 : Kanzul Ummal, no 41245].
Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku sewaktu seorang wanita jatuh dari kenderaan sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi s.a.w. dan para sahabat. Maka dengan segera Nabi s.a.w. memalingkan wajahnya. Kemudian para sahabat berkata, dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu, Rasulullah s.a.w. memuji dan menyebut hadis itu. [al-Bayan wa al-Ta’rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/252, no 1831].
Berdasarkan dalil tersebut, ini bermakna Allah sentiasa melaknat wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan terutama semasa naik motor ke kuliah pengajian di Insaniah. Demikian menurut kaedah mafhum mukhalafah dalam ilmu usul fiqh yang dipelajari oleh mahasiswa syariah.
Oleh itu dinasihatkan kepada semua mahasiswi yang menunggang motorsikal ke kuliah sewajarnya memakai seluar panjang di sebelah dalam, jika memakai baju kurung atau jubah. Ini semua bagi mengelak lebih awal dari perkara yang boleh mengaibkan dalam sesuatu kejadian yang akan berlaku. Semoga kita semua terjaga maruah dan harga diri dari dosa-dosa yang tidak diketahui.
Siiru ‘ala barakatillah.
Dipetik dari : Untukmu Umat, Ust Zaharuddin Abd Rahman, Karya Bestari, 2009.
Suatu Peringatan Buat Muslimat
DAKWAH NABI : CONTOH METHOD DAKWAH YANG TERBAIK
Assalamu'alaikum,
Salam ceria dan perjuangan ke titisan darah yang terakhir dalam memperjuangkan dan mendaulatkan Islam.
Perkataan 'dakwah' selalu meniti di bibir-bibir orang agamawan, juga mahasiswa Islam. Setiap dakwah yang dijalankan mestilah berpaksikan kepada dua sumber utama dalam Islam, yakni al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Setiap gerak langkah dakwah mesti dilihat dari contoh tauladan dari manusia mulia iaitu Nabi Muhammad SAW dalam lembaran sirah yang telah dicatat oleh para ulama' sejarah Islam. Jadi, dari sudut method dakwah yang terbaik adalah melalui Rasulullah SAW. Disini ana cuba bentangkan serba sedikit mengenai method dakwah yang telah dilaksanakan oleh baginda SAW.
Adakala Nabi SAW berlembut seperti saat berdepan dengan badawi yang kencing di dalam masjid. Tika itu Nabi SAW menghalang Saidina Omar yang berhasrat untuk memukul badawi tersebut kerana perlakuan biadabnya. Namun sikap Nabi SAW pada waktu itu menjadikan badawi terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam lalu melafazkan syahadah.
Begitu juga, suatu kisah ketika Rasulullah SAW sedang duduk ditengah-tengah para sahabat, tiba-tiba datang seorang rahib yahudi bernama Zaid bin Sa’nah. Kemudian dia menyambar kain Rasulullah SAW dan berkata dengan kasar; “Ya Muhammad! Bayarlah hutangmu. Kamu keturunan Bani Hasyim melambat-lambatkan pembayaran hutang.”
Sememangnya ketika itu Rasulullah SAW berhutang dengan yahudi tersebut. Tetapi Rasulullah mengerti bahawa masa yang dijanjikan untuk membayarnya belum sampai. Melihatkan keadaan sebegitu, Saidina Umar r.a lalu bangun dan menghunus pedangnya. “Wahai Rasulullah SAW, izinkan aku memenggal leher manusia yang kurang ajar ini.”
Namun, dengan penuh kelembutan dan ketenangan Rasulullah SAW bersabda; “Ya Umar, aku tidak disuruh berdakwah dengan cara yang kasar. Antara aku dan dia memang memerlukan kebijaksanaan daripadamu. Suruhlah dia menagih hutangnya dengan sopan dan ingatkanlah aku supaya aku dapat membayar hutangku dengan baik.”
Mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, orang yahudi itu pun berkata: “Demi yang mengutusmu dengan kebenaran, sebenarnya aku tidak akan datang untuk menagih hutang, tetapi aku datang untuk menguji akhlakmu. Aku mengerti masa untuk melunaskan hutang itu sebelum sampai waktunya. Akan tetapi aku telah membaca sifat-sifatmu dalam kitab Taurat. Semua sifat-sifatmu sungguh terpuji. Namun masih ada satu sifatmu yang belum aku ketahui iaitu tentang kebijaksanaanmu bertindak ketika waktu marah. Ternyata tindakan ceroboh yang dilakukan orang terhadapmu, engkau masih dapat mengawalnya dengan cara bijaksana.”
Ini merupakan satu hakikat yang aku saksikan sendiri, maka terimalah Islamku ya Rasulullah SAW, kemudain orang yahudi itupun mengucap dengan mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Rasulullah SAW adalah pensuruh ALLAH.
Kemudian ia berkata lagi: “Wahai Rasulullah, adapun hutangmu, aku sedekahkan kepada fakir miskin dan kaum muslimin”
Demikianlah antara sebuah kisah kehebatan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menghadapi mad’u walaupun dalam keadaan marah. Manakala, hari ini bagaimanakah para pejuang Islam menguruskan pelaksanaan dakwah mereka dalam masyarakat. Apabila kita dimarahi, dicaci, dicerca dan dihina adakah kita mampu menahan kemarahan kita tanpa cepat melenting terhadap apa yang terjadi, serta mampu membawa mesej dakwahnya secara berhemah. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pejuang Islam dalam menghadapi situasi yang mudah mengundang marah, memerlukan tindakan pantas kepada memikirkan sabar tanpa menyebabkan dakwah dibawa terbantut.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
“Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah).”
[Riwayat al-Tirmizi]
Adakalanya pula Nabi SAW bersikap tegas dan kasar seperti Nabi SAW menangani kedatangan Omar r.a. (masa itu beliau belum beriman) yang mahu membunuh beliau dirumah al Arqam. Nabi SAW menerima kedatangan Omar dengan segera menerpa lalu mencekak leher baju Omar dengan garang Nabi SAW berkata untuk apa kamu datang? Sikap Nabi yang kasar dan tegas itu membuka pintu hati Omar r.a. seorang yang keras dan kasar pada waktu untuk beriman.
Demikian halnya, Nabi SAW pernah tidak memaafkan musuh seperti seorang yahudi bernama Kaab bin Asyraf sehingga Nabi SAW pernah berkata, jika ditemui Kaab ini bergantung di kelambu kaabah sekalipun hendaklah kamu bunuhnya.
Namun Nabi yang sama jugalah pernah memaafkan wahsyi yang membunuh bapa saudara baginda yang sangat dikasihi Hamzah Abdul Muttalib .
Begitulah kebijaksanaan Nabi SAW dalam berdakwah. Itulah hikmah yang perlu dimiliki oleh para pejuang Islam dan para pemimpinnya. Namun, dasar umum dalam berdakwah ialah pendakwah mestilah hadir dengan segala kerendahan budi dan keizzahan diri, sopan santun dan bertata susila, berakhlak dan beradab. Firman Allah SWT :
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
“Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.”
Tarbiyyah & Dakwah
Apakah kesan tarbiyyah tanpa dakwah?
Tarbiyyah adalah potensi seperti air dalam badan manusia. Sememangnya air diperlukan, namun ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam bentuk pelbagai seperti darah dsb. Jika air tersebut diperam didalam badan ia tak dibuang, ia akan menyebabkan penyakit. Segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiyyah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum daripada menyeru kearah kebenaran. Tanpa dakwah, tarbiyyah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan diri sahaja betul dan individu lain salah.
Apakah kesan dakwah tanpa tarbiyyah?
Tarbiah adalah minyak yang menyediakan tenaga dan modal kepada pendakwah. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk mengajak manusia ke arah kebaikan, ia akan ketandusan minyak jika tidak dibekalkan dari semasa ke semasa. Apabila ketandusan minyak, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kekadang si pendakwah itu sendiri rasa letih dan tidak mampu meneruskan kerja dakwah. Inilah asas kepada gejala keguguran di medan dakwah. Tarbiyyah yang kurang mantap memudahkan seseorang itu gugur daripada jalan yang mulia ini.
Dimana ada tarbiyyah, disitu wujudnya dakwah. Tarbiyyah adalah proses pembentukan diri seseorang pendakwah, maka dakwah adalah amal yang akan dilaksanakan oleh pendakwah selepas proses pembentukan dan pembinaan jatidiri daripada tarbiyyah tersebut. Jangan kita laksanakan dakwah tanpa melalui terlebih dahulu dengan proses tarbiyyah dan berterusan dalam tarbiyyah. Juga jangan hanya ditarbiyyah tapi tidak melaksanakan dakwah selepas melalui peringkat pembinaan dalam tarbiyyah. Maka jadilah seseorang yang ditarbiyyah dan mentarbiyyah. Wallahualam..
Siiru 'ala barakatillah.
PUISI DAKWAH (Arkanul Bai'ah)
PUISI DAKWAH
(Suatu inspirasi dari Arkanul Bai`ah)
Katakanlah, “Inilah jalanku,
aku mengajak kalian kepada Allah dengan bashiroh,
aku dan pengikut-pengikutku – mahasuci Allah,
dan aku bukan termasuk orang-orang yang musyrik”.
Ikhwah wal Akhawat, Para Da`ie !!
Jalan dakwah panjang terbentang jauh ke depan
Duri dan batu terjal selalu mengganjal, lurah dan bukit menghadang
Ujungnya bukan di usia, bukan pula di dunia
Tetapi Cahaya Maha Cahaya, Syurga dan Redha Allah
Cinta adalah sumbernya, hati dan jiwa adalah rumahnya
Pergilah ke hati-hati manusia ajaklah ke jalan Rabbmu
Nikmati perjalanannya, berdiskusilah dengan bahasa bijaksana
Dan jika seseorang mendapat hidayah keranamu
Itu lebih baik dari dunia dan segala isinya…
Ikhwah wal Akhawat, Para Junudud Dakwah !!
Pergilah ke hati-hati manusia ajaklah ke jalan Rabbmu
Jika engkau cinta maka dakwah adalah FAHAM
Mengerti tentang Islam, Risalah Anbiya dan warisan ulama
Hendaknya engkau fanatik dan bangga dengannya
Seperti Mughirah bin Syu’bah di hadapan Rustum Panglima Kisra
Jika engkau cinta maka dakwah adalah IKHLAS
Menghiasi hati, memotivasi jiwa untuk berkarya
Seperti Kata Abul Anbiya,
“Sesungguhnya sholatku ibadahku, hidupku dan matiku semata bagi Rabb semesta”
Berikan hatimu untuk Dia, katakan “Allahu ghayatuna”
Jika engkau cinta maka dakwah adalah AMAL
membangun kejayaan ummat bila dan di mana saja berada
yang bernilai adalah kerja bukan semata ilmu apalagi lamunan
Sasarannya adalah perbaikan dan perubahan, al ishlah wa taghyir
Dari diri pribadi, keluarga, masyarakat hingga negara
Tingkatkan kerja secara tertib untuk mencapai nusrah dari Allah
Jika engkau cinta maka dakwah adalah JIHAD
Sungguh-sungguh di medan perjuangan melawan kebatilan
Tinggikan kalimah Allah rendahkan kalimah syaitan durjana
Kerja keras tak kenal lelah adalah rumusnya,
Tinggalkan kemalasan, lamban, dan berpangkutangan
Jika engkau cinta maka dakwah adalah TAAT
Kepada Allah dan Rasul, Alqur-an dan Sunnahnya
serta orang-orang bertaqwa yang tertata
Taat adalah wujud syukurmu kepada hidayah Allah
karenanya nikmat akan bertambah melimpah penuh berkah
Jika engkau cinta maka dakwah adalah TADHHIYAH,
Bukti kesetiaan dan kesiapan memberi, pantang meminta
Bersedialah banyak kehilangan dengan sedikit menerima
Karena yang disisi Allah lebih mulia, sedang di sisimu fana belaka
Sedangkan tiap titisan keringat berpahala lipat ganda
Jika engkau cinta maka dakwah adalah THABAT,
Hati dan jiwa yang tegar walau banyak rintangan
Buah dari sabar meniti jalan, teguh dalam barisan
Istiqomah dalam perjuangan dengan kaki tak tergoyahkan
Berjalan lempang jauh dari penyimpangan
Jika engkau cinta maka dakwah adalah TAJARRUD
Ikhlas di setiap langkah menggapai satu tujuan
Padukan seluruh potensimu libatkan dalam jalan ini,
Engkau da’i sebelum apapun adanya engkau
Dakwah tugas utamamu sedang lainnya hanya sampingan
Jika engkau cinta maka dakwah adalah TSIQOH
Kepercayaan yang dilandasi iman suci penuh keyakinan
Kepada Allah, Rasul, Islam, Qiyadah dan Junudnya
Hilangkan keraguan dan pastikan kejujurannya…
Karena inilah kafilah kebenaran yang penuh berkah
Jika engkau cinta maka dakwah adalah UKHUWAH
Lekatnya ikatan hati berjalin dalam nilai-nilai persaudaraan
Bersaudaralah dengan muslimin sedunia, utamanya mukmin mujahidin
Salamatus Shodri merupakan syarat terendahnya, Itsar bentuk tertingginya
Dan Allah yang mengetahui menghimpun hati-hati para da’ie dalam cinta-Nya
berjumpa karena taat kepada-Nya
Melebur satu dalam dakwah ke jalan Allah,
saling berjanji untuk menolong syariat-Nya
Akhukum FiLlah,
Hasil nukilan :
Ahmad Akhyari Ismail,
UIN Jakarta.
University of Tarbiyyah Rasulullah SAW
Wahai saudara/i yang mulia. Ana sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah SWT yang diberkati dan baik: Assalamu 'alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Kali ini ana ingin berkongsi bersama saudara/i sekalian mengenai University of Tarbiyyah yang pernah di asaskan oleh makhluk yang mulia disisi Allah SWT iaitu Nabi SAW. Rasulullah saw telah membentuk para sahabatnya dalam University of Tarbiyyah yang bersifat praktikal dan sentiasa bergerak sehingga tidak memerlukan kepada satu program khusus, waktu dan tempat yang tertentu. Tarbiyyah dalam sesebuah organisasi merupakan jentera pembentukan dan pentarbiyyahan utama yang menjadi asas tertegaknya bangunan sesebuah organisasi . Sejauh mana kejayaan dakwah samada jauh atau dekatnya dengan matlamat dakwah adalah berdasarkan tarbiyyah yang dilaksanakan dalam organisasi itu, kerana proses pentarbiyyahanlah yang boleh mengislahkan jiwa dan merupakan asas dalam kesatuan ahli organisasi di atas satu fikrah serta menyatukan hati-hati semua ahli organisasi tersebut.
Dalam al-Quran di sebut dalam beberapa ayat tentang konsep didikan Nabi SAW :
1. Dalam surah al-Baqarah ayat 151 :
“Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”2. Dalam surah ali ‘Imran ayat 164 :
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”3. Dalam surah al-Jumu’ah ayat 2 :
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara’) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”Ayat-ayat al-Quran di atas menunjukkan kepada kita, bahawa terdapat empat konsep didikan Rasulullah SAW yang merangkumi :
1. Membaca ayat al-Quran.
2. Menyucikan jiwa para sahabat.
3. Mengajar para sahabat tentang al-Quran dan hikmah.
4. Mengajar kepada mereka perkara yang tidak mereka ketahui.
Inilah tabiat tarbiyyah Rasulullah SAW kepada sahabat yang berpaksikan dan bersumberkan hanya kepada al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah pula sebagai pentafsiran kepada sumber utama itu. Maka lahirlah satu generasi yang dinamakan generasi al-Quran yang telah digagaskan oleh Sayyid Qutb dalam bukunya (Petunjuk Sepanjang Jalan).
Hanya al-Quran yang menjadi sumber panduan, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukan kerana tiada sumber lain yang nak dijadikan panduan dan diikut oleh para sahabat, bahkan pelbagai tamadun yang sedang menguasai pada zaman tersebut. Generasi pertama itu mencedok dari Kitab Allah (al-Quran) sahaja di peringkat pertumbuhan mereka adalah kerana planning yang telah ditentukan dan program yang telah diatur di dalam madrasah Rasulullah SAW tersebut. Ini terbukti dalam suatu masa Rasulullah murka ketika melihat Saidina Umar al-Khattab RA memegang helaian kitab Taurat.
Baginda SAW bersabda : "Demi Allah, sekiranya Nabi Musa masih hidup bersama-sama kamu sekarang, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku." (Hadis riwayat al-Hafiz Abu Ya'la dari Hammad dari al-Sya'bi dari Jabir).
Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa sumber panduan tarbiyyah kepada generasi pertama dalam University of Tarbiyyah Rasulullah SAW adalah terbatas setakat al-Quran sahaja supaya jiwa mereka tertumpu ke arah sumber yang tunggal dan hidup terarah kepada manhaj yang telah digariskan semata-mata.
Bersamb....
تربيتنا :إلى أين؟ وكيف؟
Assalamu'alaikum,
Salam ceria dan bahagia buat sahabat-sahabatku..
Alhamdulillah, sama-sama kita bersyukur kepada Allah Rabbul Jalil yang mencipta dan mengadakan kita hidup atas muka bumiNya, untuk kita terus melaksanakan tuntutan ubudiyyah kepadaNya dan memperjuangkan Islam kepada semua makhlukNya (dakwah) dengan memahami Tasawwur Islam yang sebenar. Sebagaimana disebut oleh Mustafa Masyhur dalam bukunya 'Toriq ad-Dakwah' :
Marilah sama-sama mantapkan tanzim, dengan tarbiyyah Islam yang diceduk dari kitab Allah, sunnah Rasulullah dan perjuangan para Salafus Soleh. Hanya dengan celupan dari Ilahi yang bersifat Rabbani ini sahaja yang terbaik. Seterusnya membentuk diri manusia ke jalan yang benar mengikut rentak yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah dan para Salafus Soleh dalam memperjuangkan Islam. Firman Allah SWT :
Bila mana kita bercakap pasal Tarbiyyah, semua orang pasti mengetahui bahawa ia adalah suatu proses untuk membentuk diri manusia ke arah jalan yang diredhai Allah. Proses ini memerlukan masa yang panjang bukan dalam sehari dua. Hasil daripada tarbiyyah inilah akan lahirnya pejuang-pejuang Islam yang memahami tanggungjawab dan tuntutannya terhadap Islam dan melahirkan manusia yang muttaqin di dalam menjalani kehidupannya sebagai 'abid dan mujahid.
Antara tarbiyyah yang sering diperkatakan adalah tarbiyyah melalui usrah (perkumpulan kecil) atau dikenali di Kampus Insaniah sebagai Smart Group. Smart group memainkan peranan yang penting dalam melahirkan jiwa-jiwa yang sanggup berkorban apa saja untuk Islam. Malahan akan lahir manusia yang cakna tentang masalah ummah yang sedang bergelora dewasa ini. Sabda Rasulullah SAW :
Walaubagaimana pun nizom usrah ini memerlukan seorang naqib atau mentor yang boleh membawa mereka ke arah matlamat yang ingin dicapai dalam sesebuah Smart Group. Mentor adalah sang murabbi yang mendidik memberi petunjuk kepada semua mad'u atau mentee dalam menjalani kehidupan mereka ke arah jalan yang diredhai Allah. ia juga dikatakan sebagai da'ie, abang atau kakak untuk menjadi tempat rujukan dalam sesuatu permasalahan dan banyak lagi peranan-peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mentor-mentor. Mentor sebagai murabbi adalah salah satu perkara yang penting dalam pembentukan Fardul Muslim, sebagaimana yang telah dicanangkan oleh Syahid Imam Hasan al-Banna sebagai salah satu matlamat dalam perjuangan.
Selain itu, dalam pembentukan Fardul Muslim jugak memerlukan manhaj usrah (silibus Smart Group) yang menepati citarasa mad'u dan bersesuai mengikut keadaan semasa di sesebuah tempat. bahkan dalam pembawakan manhaj itu perlu mengikut kaedah yang munasabah. Bi' ah atau persekitaran yang baik juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan Fardul Muslim. ini kerana, jika persekitaran tempat untuk melahirkan generasi rabbani ini wujud anasir-anasir yng negatif akan menyebabkan mad'u mudah terpengaruh dan lari dari perjuangan. Apabila wujudnya Bi'ah Solehah, maka keadaan itu akan membantu seseorang muslim untuk mendapat akhlak yang baik, ilmu dan amal. dan juga menjauhkan diri mereka dari perkara sia-sia dan haram.
Maka, tiga perkara ini perlu dititk beratkan oleh sesebuah persatuan untuk melahirkan barisan pelapis perjuangan yang berkualiti dari segi mental dan fizikal. Apabila berlakunya kelemahan dan kecacatan dalam ketiga-tiga perkara tadi akan menyebabkan berlaku kelemahan dalam proses pembinaan fardul Muslim kecuali muslim yang betul-betul menyedari petunjuk ilahi.
Permasalahan sekarangnya, terjadi kepincangan di kalangan mentor-mentor yng membawa taklif Smart Group itu. Kenapa dan mengapa ini terjadi? kalau dilihat dari sudut tarbiyyah, mereka sudah beberapa kali ditarbiyyah dan melalui proses pentarbiyyahan, adakah tidak mencukupi atau memerlukan penambahan lagi. ada pandangan yang menyatakan mungkin mereka tidak melalui pentarbiyyahan yang sebenar yang telah ditetapkan. mungkin tidak memenuhi tarbiyyah yang telah digariskan. ye, mungkin juga bagi ana. Oleh sebab itu menyebabkan mereka tidak memahami sebagaimana yang dikehendaki oleh kita.
Kemungkinan juga mereka tidak dapat menerima bentuk atau cara arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan. jadi, ada yang boleh menerima akan melaksanakannya, bagi yang tak boleh menerima cara arahan pimpinan tak akan melaksanakan Smart Group. Ini betul-betul permasalahan yang berat untuk diselesaikan bagi mereka yang tidak kuat semangat dalam menyelesaikannya. Pada pandangan ana, perubahan bermula dari dalam dan persekitaran yang akan membentuk mereka untuk bergerak ke hadapan.
Oleh itu, sama-sama kita islahkan diri kita dengan mendekatkan diri kepada Allah, seterusnya pimpinan MPM terutamanya cuba membentuk persekitaran tempat pengajian ini menjadi sebuah Kampus yang dinaungi oleh Rahmat dan Barakah dari Allah, sebagaimana yang disebut dalam al-Quran :
Siiru 'ala barakatillah..
Tingkatkan Ukhuwah Sesama kita
Salam Ukhuwah Fillah,
Marilah sama-sama kita membina ukhuwwah yang mantap di kalangan ahli. Ini kerana ukhuwah adalah satu tuntutan asas yang telah dibina oleh Nabi SAW semasa baginda tiba di Madinah. Ini adalah batu asas dalam proses untuk menegakkan Daulah Islamiyyah, tidak dapat tidak dalam pembinaan ke arah yang sama kita menjana persaudaraan berdasarkan tuntutan dalam al-Quran yang menyebut :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Marhalah ukhuwwah
Tujuan utama ukhuwwah Islamiyah ialah محبة الإلهية
1. Yang paling rendah ialah سلامة الصدر
Firman Allah:
إنما المؤمنون إخوة
maksudnya: Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. (Al-Hujurat 10)
2. Yang paling tinggi ialah الإيثار
Firman Allah SWT dalam surah Al-Hasyr ayat 9:
وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ
Maksudnya: dan mereka melebihkan diri saudara-saudara mereka lebih dari diri mereka sendiri walaupun dalam keadaan yang terdesak dan memerlukan
3. Yang pertengahan ialah المساواة meletakkan hak saudara Islam sama dengan hak sendiri
لايؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya: tidak beriman seseorang dari kalangan kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri
Dalam konteks membina Persatuan yang berasaskan Dakwah Ilallah di IPT khususnya dengan kukuh dan mantap, perlulah meningkatkan ukhuwwah sehingga ke tahap paling tinggi iaitu ithar. Tujuannya bagi melatih diri kita sentiasa meletakkan kepentingan sesama mukmin lebih penting daripada diri kita sendiri. Itulah yang telah dibuktikan oleh para sahabat dalam beberapa siri peperangan yang tidak mementingkan diri dalam keadaan kecederaan yang amat mendahagakan air, tetapi masih lagi tetap mengutamakan sahabatnya yang lain yang mungkin lebih haus sedangkan dirinya sendiri dalam keadaan amat memerlukan air.

