Kita panjatkan puji syukur ke hadrat Allah SWT. Kita ucapkan selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad, juga untuk seluruh ahli keluarga dan sahabat baginda, serta siapa saja yang menyerukan dakwahnya hingga hari qiamat.
Wahai saudara/i yang mulia. Ana sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah SWT yang diberkati dan baik: Assalamu 'alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Kali ini ana ingin berkongsi bersama saudara/i sekalian mengenai University of Tarbiyyah yang pernah di asaskan oleh makhluk yang mulia disisi Allah SWT iaitu Nabi SAW. Rasulullah saw telah membentuk para sahabatnya dalam University of Tarbiyyah yang bersifat praktikal dan sentiasa bergerak sehingga tidak memerlukan kepada satu program khusus, waktu dan tempat yang tertentu. Tarbiyyah dalam sesebuah organisasi merupakan jentera pembentukan dan pentarbiyyahan utama yang menjadi asas tertegaknya bangunan sesebuah organisasi . Sejauh mana kejayaan dakwah samada jauh atau dekatnya dengan matlamat dakwah adalah berdasarkan tarbiyyah yang dilaksanakan dalam organisasi itu, kerana proses pentarbiyyahanlah yang boleh mengislahkan jiwa dan merupakan asas dalam kesatuan ahli organisasi di atas satu fikrah serta menyatukan hati-hati semua ahli organisasi tersebut.
Dalam al-Quran di sebut dalam beberapa ayat tentang konsep didikan Nabi SAW :
1. Dalam surah al-Baqarah ayat 151 :“Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”
2. Dalam surah ali ‘Imran ayat 164 :
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
3. Dalam surah al-Jumu’ah ayat 2 :“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara’) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat-ayat al-Quran di atas menunjukkan kepada kita, bahawa terdapat empat konsep didikan Rasulullah SAW yang merangkumi :
1. Membaca ayat al-Quran.
2. Menyucikan jiwa para sahabat.
3. Mengajar para sahabat tentang al-Quran dan hikmah.
4. Mengajar kepada mereka perkara yang tidak mereka ketahui.
Inilah tabiat tarbiyyah Rasulullah SAW kepada sahabat yang berpaksikan dan bersumberkan hanya kepada al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah pula sebagai pentafsiran kepada sumber utama itu. Maka lahirlah satu generasi yang dinamakan generasi al-Quran yang telah digagaskan oleh Sayyid Qutb dalam bukunya (Petunjuk Sepanjang Jalan).
Hanya al-Quran yang menjadi sumber panduan, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukan kerana tiada sumber lain yang nak dijadikan panduan dan diikut oleh para sahabat, bahkan pelbagai tamadun yang sedang menguasai pada zaman tersebut. Generasi pertama itu mencedok dari Kitab Allah (al-Quran) sahaja di peringkat pertumbuhan mereka adalah kerana planning yang telah ditentukan dan program yang telah diatur di dalam madrasah Rasulullah SAW tersebut. Ini terbukti dalam suatu masa Rasulullah murka ketika melihat Saidina Umar al-Khattab RA memegang helaian kitab Taurat.
Baginda SAW bersabda : "Demi Allah, sekiranya Nabi Musa masih hidup bersama-sama kamu sekarang, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku." (Hadis riwayat al-Hafiz Abu Ya'la dari Hammad dari al-Sya'bi dari Jabir).
Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa sumber panduan tarbiyyah kepada generasi pertama dalam University of Tarbiyyah Rasulullah SAW adalah terbatas setakat al-Quran sahaja supaya jiwa mereka tertumpu ke arah sumber yang tunggal dan hidup terarah kepada manhaj yang telah digariskan semata-mata.
Bersamb....
0 comments:
Catat Ulasan