Salam Ramadhan al-Mubarak, moga diri ini dan sahabat2 terus thabat dalam perjuangan dalam menegakkan kalimah suci murni.
Allah telah menetapkan kepada hambaNya dengan pelbagai cara yang berkesan dan mampu dilaksanakan bagi menghindari diri dari terjebak ke kancah maksiat. Selain sentiasa mendekatkan diri kepadaNya dengan menunaikan solat, puasa juga merupakan benteng utama dan berkesan dalam merawat diri dari terus diikat dengan nafsu syaitan.
Antara fungsi berpuasa adalah mendidik jiwa dan diri agar mampu mengawal nafsu seperti berikut:
1. Nafsu marah apabila Nabi menegah kita daripada melayani ajakan pergaduhan semasa berpuasa.
2. Nafsu makan dan minum. Apabila kita ditegah makan dan minum pada siang hari.
3. Nafsu tidur. Apabila kita dianjurkan untuk bangun sahur.
4. Nafsu syahwat. Apabila kita diarahkan untuk tidak 'bersama' isteri pada siang hari di bulan Ramadhan, juga bagi seseorang yang tak mampu lagi untuk berkahwin.
Moga puasa yang dilaksanakan dapat mengawal dan mengekang nafsu syahwat dalam meniti hidup untuk membina insan yang soleh lagi musleh.
Siiru 'ala barakatillah.
Kawallah Syahwatmu Dengan Berpuasa
Lailatulqadar Yang Didambakan
Salam Ramadhan buat sahabat ku seperjuangan, moga tahun ini dalam bulan yang mubarak ini tidak kita lupa pada suatu malam yang penuh barakah yang dikurniakan buat umat Nabi Muhammad untuk sama-sama kita perbanyakkan amalan ibadah dalam pencarian Lailatulqadar yang selalu didambakan oleh seorang mukmin saban tahun.
10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Bulan Ramadhan, Al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT :
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar."
Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu."
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya
Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.
Siiru 'ala Barakatillah..
Salah Faham Pemakaian Tudung
Pada hari ini, dapat kita perhatikan ramai muslimah mulai sedar akan kewajipan mengenakan tudung. Kita dapat lihat bagaimana seorang muslimah sebelumnya tidak bertudung, kemudian mula mengenakan tudung. Alhamdulillah, Rahimahunnallah. Walau bagaimanapun, sayangnya kebanyakan dari mereka masih belum mengenakan tudung yang benar-benar sesuai dengan kehendak syariat. Kebanyakan dari mereka memakai tudung mengikut trend atau hanya ingin dilihat lebih islamik. Mereka lebih mementingkan keanggunan, kecantikan tanpa mempedulikan apakah benar tudung mereka betul atau tidak.
Kebanyakan tudung yang dijual hari ini tidak cukup untuk menutup aurat secara sempurna melainkan meninggalkan celah-celah yang memperlihatkan aurat. Menurut jumhur ulama, aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan. Sebagaimana ulama ahli tafsir Imam Al-Qurthubi berkata, pengecualian itu adalah pada wajah dan telapak tangan. Yang menunjukkan hal itu adalah apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah:
Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah sedangkan ia memakai pakaian tipis. Maka Rasulullah berpaling darinya dan berkata kepadanya : “Wahai Asma ! Sesungguhnya jika seorang wanita itu telah mencapai masa haid, tidak baik jika ada bagian tubuhnya yang terlihat, kecuali ini.” Kemudian beliau menunjuk wajah dan telapak tangannya. Allah Pemberi Taufik dan tidak ada Rabb selain-Nya”. Maka, selain muka dan telapak tangan, tidak boleh terlihat walaupun sedikit.
Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam melarang para wanita muslimah berpakaian ketat. Dan batasan ketat adalah tergambarnya bentuk salah satu anggota tubuh yang termasuk aurat. Usamah bin Zaid pernah berkata :
Rasulullah pernah memberiku baju Quthbiyah yang tebal yang merupakan baju yang dihadiahkan oleh Dihyah Al-Kalbi kepada beliau. Baju itu pun aku pakaikan pada isteriku. Nabi bertanya kepadaku : “Mengapa kamu tidak mengenakan baju Quthbiyah ?” Aku menjawab : Aku pakaikan baju itu pada istriku. Nabi lalu bersabda : “Perintahkan ia agar mengenakan baju dalam di balik Quthbiyah itu, karena saya khawatir baju itu masih bisa menggambarkan bentuk tulangnya.” (Ad-Dhiya Al-Maqdisi dalam Al-Hadits Al-Mukhtarah I/441; Ahmad dan Al-Baihaqi dengan sanad Hasan).
Sungguh menghairankan sesetengah muslimah yang sudah menyedari akan wajibnya menutup aurat, namun di dalam hatinya masih ada keinginan untuk menonjolkan bahagian-bahagian tubuhnya agar terlihat indah di mata laki-laki. Waliyyadzubillah. Sehingga mereka pun memakai tudung secara ala-kadar sahaja. Kesilapan muslimah yang menggayakan tudung pada hari ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian.
1.Antara tudung yang popular dipakai masa kini adalah tudung lilit atau tudung pendek. Hampir kebanyakan muslimah menggayakan tudung jenis di mana banyak dipengaruhi oleh pemakaian artis-artis tempatan. Rata-rata daripada mereka akan mengatakan tudung jenis ini ringkas, tidak rimas dan senang dipakai. Namun tidak syak lagi pemakaian jenis ini mendedahkan dada. Padahal telah jelas dalil menyebutkan:
“Dan hendaklah mereka menutupkan jilbab ke dada mereka…” (QS. An Nur : 31)
2. Antara kebiasaan yang selalu dilakukan muslimah pada hari ini adalah memasukkan tudung ke dalam baju atau memakai jaket atau coat diluarnya. Ini menyebabkan hilangnya fungsi tudung untuk menutupi bentuk tubuh bahagian atas. Memang terdapat pelbagai alasan diberi untuk mengenakan tudung jenis ini.
Pertama adalah untuk keperluan keselamatan, misalnya ingin memasuki makmal, tudung perlu dimasuki ke dalam coat bagi mengelak dari disambar api, bahan kimia dan sebagainya. Penyelesaian untuk permasalahan ini, pakailah coat yang besar dan longgar sehingga tidak menampakkan langsung bentuk tubuh bahagian atas. Namun, kalau kita lihat situasi hari ini, sukar untuk melihat mereka yang memakai coat yang disebutkan itu.
Kedua pula, adalah keperluan akademik. Mereka menggayakan tudung jenis ini dengan alasan kekemasan seperti yang dapat kita lihat pada badan-badan uniform seperti Pasukan Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah dan lain-lain lagi. Sukar untuk berkompromi dengan alasan ini kerana tidak bolehkah mengemaskan sahaja tudung yang dilabuh itu? Mengapakah mereka tidak boleh mencotohi Pasukan Puteri Islam yang tampak molek dengan tudung tidak dimasukkan ke dalam baju tetapi masih boleh berfungsi sebagai satu pasukan? Ini adalah persoalan yang perlu diperhalusi lagi.
Kesimpulannya, dapat dinyatakan disini, jumhur ulama berpendapat bahawa panjang minima bagi suatu tudung adalah sampai menutupi dada dengan sempurna. Namun ini bukan bererti sekadar melepasi sepanjang itu. Kerana seringkali diterpa angin, maka bahagian dada akan tersingkap. Maka, tidak ada pilihan lain bagi muslimah kecuali mengenakan tudung yang lebih panjang dari itu. Bahkan sangat baik bila tudung menjulur panjang sampai ke punggung. Dan inilah pendapat sebagian ulama dengan mengambil zahir dari perintah Allah pada surat Al-Ahzab ayat 59:
“Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan istri-istri orang mumin : “Hendaklah mereka mengulurkann jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” (QS. Al Ahzab : 59)
Walau demikian kami bersyukur kepada Allah, bahawa sekarang mulai terlihat kesedaran dikalangan muslimah di negara kita untuk mulai mengenakan tudung. Walaupun sebahagian besar masih belum memenuhi kriteria syar’i, namun kami berharap saudari-saudari kita muslimah sentiasa berproses dan memperbaiki diri dalam pemakain tudung hingga sesuai dengan apa yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Kita berharap semoga kaum muslimah kita yang dimuliakan oleh Allah, sentiasa memperbaiki diri dan menjaga kehormatan dirinya dengan taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Beragama dengan kaedah yang benar sesuai Al Qur’an dan As Sunnah, bukan hanya mengikuti perasaan, atau mengikuti apa yang dianggap baik oleh kebanyakan orang. Wallahu ta’ala a’lam.
Sumber : http://salafus-sholih.blogspot.com/2010/07/salah-faham-pemakaian-tudung.html
Suatu Peringatan Buat Muslimat
Diriwayatkan dalam sebuah hadis yang mafhumnya : “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya).” [riwayat al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043 : Kanzul Ummal, no 41245].
Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku sewaktu seorang wanita jatuh dari kenderaan sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi s.a.w. dan para sahabat. Maka dengan segera Nabi s.a.w. memalingkan wajahnya. Kemudian para sahabat berkata, dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu, Rasulullah s.a.w. memuji dan menyebut hadis itu. [al-Bayan wa al-Ta’rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/252, no 1831].
Berdasarkan dalil tersebut, ini bermakna Allah sentiasa melaknat wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan terutama semasa naik motor ke kuliah pengajian di Insaniah. Demikian menurut kaedah mafhum mukhalafah dalam ilmu usul fiqh yang dipelajari oleh mahasiswa syariah.
Oleh itu dinasihatkan kepada semua mahasiswi yang menunggang motorsikal ke kuliah sewajarnya memakai seluar panjang di sebelah dalam, jika memakai baju kurung atau jubah. Ini semua bagi mengelak lebih awal dari perkara yang boleh mengaibkan dalam sesuatu kejadian yang akan berlaku. Semoga kita semua terjaga maruah dan harga diri dari dosa-dosa yang tidak diketahui.
Siiru ‘ala barakatillah.
Dipetik dari : Untukmu Umat, Ust Zaharuddin Abd Rahman, Karya Bestari, 2009.
Analogi Taqwa
Pada suatu hari, seorang kanak-kanak ternampak seorang lelaki tua menjual belon yang boleh terbang tinggi. Dia kagum dengan belon itu. Dia terus membeli belon biasa dan ditiupnya dengan harapan belon itu juga terbang naik ke udara. Tetapi harapannya musnah. Belon itu menjunam ke bumi. Dek kerana semangat ingin tahu, budak itu terus pergi bertemu pakcik penjual belon bertanyakan rahsia belonnya boleh terbang ke udara. “Senang saja,” jawab pakcik itu. “Perbezaannya adalah pada dalamannya. Kamu menggunakan angin biasa tetapi pakcik menggunakan gas helium.”
Begitulah analoginya perbezaan antara seorang manusia dengan manusia lain. Daripada sudut luarannya, manusia kelihatan lebih kurang sama tetapi dalaman mereka berbeza. Aspek dalaman yang menentukan sama ada individu itu menjunam ke lembah kehinaan ataupun terbang menuju kemuliaan. Untuk ‘terbang’ menuju kemuliaan, manusia memerlukan helium yang khusus iaitu ‘helium’ taqwa. Dalam surah al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu.” Sebarang perubahan yang positif perlu bermula dengan taqwa.
Taqwa adalah kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Dengan taqwa para sahabat mampu mengukir sejarah yang gemilang di dunia hingga ke hari ini masih disebut-sebut dan menjadi pengajaran kepada masyarakat. Apakah maksud taqwa? Saidina Omar al-Khattab pernah bertanya maksud taqwa kepada sahabat Ubai bin Kaab. Ubai berkata : “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” jawab Omar : “Ya, pernah.” Ubai bertanya lagi : “Apa yang kamu lakukan ketika itu?” Omar berkata : “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.” Berkata Ubai : “Itulah taqwa.” Daripada jawapan Ubai bin Kaab, taqwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak melakukan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut.
Siiru 'ala Barakatillah.
Motivasi Bersama Al-Quran
Kita selalu Bertanya...........dan Al-Quran sudah menjawabnya.....
KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?
AL-QURAN MENJAWAB :
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang - orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang - orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." ( Surah Al-Ankabut ayat 2-3 )
KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
AL-QURAN MENJAWAB :
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." ( Surah Al-Baqarah ayat 216)
KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
AL-QURAN MENJAWAB :
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." ( Surah Al-Baqarah ayat 286)
KITA BERTANYA : KENAPA RASA "FRUST"?
AL - QURAN MENJAWAB :
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang- orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." ( Surah Al-Imran ayat 139)
KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
AL-QURAN MENJAWAB :
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan),dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan) ."( Surah al-Imran: 200 )
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" ( Surah Al-Baqarah ayat 45 )
KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
AL- QURAN MENJAWAB :
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang - orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ? ( Surah At-Taubah ayat 111)
KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP ?
AL-QURAN MENJAWAB :
"Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." ( Surah At-Taubah ayat 129)
KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
AL-QURAN MENJAWAB :
"... ....dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." ( Surah Yusuf ayat 12 )
Siiru 'ala Barakatillah.


