SuLuHaN iLaHi

| Isnin, 1 Julai 2013 |

Apakah Status Hadith : 9/10 Rezeki Dalam Berniaga

Oleh :
Ustaz Mohd Khafidz Soroni
(Jabatan Al Quran dan Al Sunnah & Institut Kajian hadis (INHAD) KUIS







Terdapat sebuah hadis yang sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali (w. 505H) di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya' 'Ulumiddin. Beliau pula hanya menukilkannya daripada kitab Qut Al Qulub oleh Abu Talib al Makki (w. 386H). Hadisnya berbunyi :

عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق

"Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"

Soalan : Dimanakah sumber asal hadis ini?

Jawapan : 

Walaupun Tajuddin as Subki (w.771H) menyatakan beliau tidak menemukan sanad hadis ini, berdasarkan kajian dan rumusan ulama hadis, hadis yang semakna dengannya ditemui di dalam sumber-sumber berikut :



  • Gharib al Hadits oleh Abu 'Ubaid al Qasim bin Sallam (w.224H) (1/80)
  • Sunan Sai'd bin Mansur (w. 227H), sepertimana kata as Suyuti (w.911H) dalam al Jami' as Saghir (no 3296). 
  • Musnad Musaddad (w.228H), sepertimana dalam Ithaf al Khayarah al Maharah oleh al Hafiz al Busiri (no 2730)
  • Islah al Mal oleh Ibnu Abi Ad DUnya (w. 281H) (no 202)
  • Gharib al Hadith oleh Ibrahim al Harbi (w.285H), sepertimana kata al 'Iraqi dalam Takhrij Ihya' 'Ulumiddin (2/79)

Kesemuanya meriwayatkan daripada jalur riwayat Nu'aim bin Abd ar Rahman secara mursal kecuali dalam sunan Sa'id bin Mansur terdapat satu riwayat sokongan daripada Yahya bin Jabir at Ta'i juga secara mursal. Bagaimanapun kesemuanya tidak meriwayatkan lafaz hadith di atas tadi, tetapi dengan lafaz berikut :

تسعة اعشار الرزق في التجارة

" Sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan"

Soalan : Bagaimana hukum hadis ini ?

Jawapan :

1. Menurut al Hafiz al 'Iraqi (w.806H) dalam takhrijnya terhadap kitab 'Ihya' Ulumiddin : "Para periwayatnya adalah tsiqah (dipercayai). Nu'aim bin Abd ar-Raman dikategorikan oleh Ibn Mandah termasuk daripada kalangan para Sahabat r.a, tetapi itu tidak benar. Menurut abu Hatim ar Razi dan Ibnu Hibban beliau adalah seorang tabi'i (sempat bertemu Sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam), maka hadith ini adalah mursal"

2. Al Hafiz al Busiri (w.840H) dalam Ithaf al Khayarah al Maharah menyatakan bahawa sanadnya dhaif kerana Nu'aim bin Abd ar Rahman adalah majhul iaitu dengan maksud hanya seorang perawi sahaja yang diketahui meriwayatkan hadith daripada beliau.

3. Kata Murtadha az Zabidi (w. 1205H) dalam Ithaf as Sadah al Muttaqin: "Ia turut diriwayatkan oleh Said bin Mansur dalam Sunannya daripada hadis riwayat Nu'aim bin Abd ar Rahman dan hadis riwayat Yahya bin Jabir at Ta'i secara mursal dengan tambahan akhir: "....dan satu persepuluh pula di dalam bidang penternakan." Dalam riwayat lain "...dan satu persepuluh pula dalam bidang penghasilan."

Nu'aim bin 'Abd ar Rahman adalah perawi maqbul (diterima) daripada peringkat kedua. Yahya bin Jabir at Ta'i pula adalah qadhi Hims (di Syria), seorang perawi saduq (benar), sepertimana dalam kitab al Kasyif. Namun, di dalam kitab at Taqrib disebut seorang yang tsiqah (dipercayai), tapi banyak memursalkan hadith."

4. Meskipun as Suyuti dalam al Jami' as Saghir menyatakan ia daripada Nu'aim bin Abd ar Rahman dan Yahnya bin Jabir at Ta'i secara mursal, beliau mengisyaratkan hukumnya sebagai hasan. Sedangkan hadis mursal adalah tergolong dalam kategori hadith dhaif kerana terputus sanadnya.

Kemungkinan beliau berpendapat, kedua-dua riwayat mampu saling menyokong dan meningkatkan martabatnya kepada darjat hasan, yakni hasan li-ghairih. Namun, riwayat-riwayat mereka tidak dapat ditemukan dalam kitab Sunan Sa'id bin Mansur yang dicetak pada hari ini kerana ia tidak lengkap disebabkan banyak bahagian yang sudah hilang.

Soalan : Adakah hadith tersebut tidak dapat diamalkan?

Jawapan : 

Tidak tepat jika ada yang mengatakan ia hadis palsu kerana hadith tersebut sama ada dhaif atau hasan sepertimana menurut al Hafiz as Suyuti. Maka tidak salah jika ia diamalkan, terutama dalam bab motivasi.

Agama Islam memang menggalakkan perniagaan. Bahkan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri pernah berniaga semasa mudanya dan para Sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini (lihat misalnya, buku Fadhilat Tijarah oleh Maulana Syeikh Muhammad Zakariyya al Kandahlawi).

Alhamdulillah, ramai yang telah termotivasi dengan hadith tersebut sehingga berjaya dalam perniagaan mereka.

Maksudnya juga benar kerana banyak rezeki yang diperoleh dengan perniagaan dan ia mampu menjana kekuatan ekonomi umat Islam. Malah jika difikirkan, kebanyakan bidang pekerjaan seperti penternakan, pertanian, pertukangan dan sebagainya akan berakhir dengan urusan jual beli juga bagi mendapatkan hasil keuntuntan. Wallahua'lam.

Sumber : Majalah Q& A m/s 77-78, Januari 2013, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Selangor


Perselisihan Di Antara Imam-Imam Mazhab

| Rabu, 3 Oktober 2012 |



Kenapakah Imam-Imam Berselisih?

Imam-imam berselisih kerana syariat Allah diturunkan dalam bentuk nas-nas. Manusia tidak dapat lari daripada perselisihan di dalam memahami nas-nas. Ini adalah suatu yang tabi'e (semulajadi) dalam kehidupan. Manusia di dalam perselisihan mereka terbahagi kepada dua.

Golongan yang mengambil berat tentang zahir lafaz dan golongan yang mengambil berat tentang maksud lafaz. Hal ini juga wujud di kalangan pengulas undang-undang. Terdapat madrasah (aliran) yang menyempitkan kepada zahir nas dan madrasah yang mengembangkannya dan mengambil berat tentang maksud nas.

Kedua-dua golongan ini telah wujud semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi iaitu ketika Baginda bersabda selepas perang Ahzab:
لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah ia bersembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Quraidzah.”

Para sahabat telah berselisih mengenainya ketika hampir Maghrib.

Ada yang berkata:
"Tujuan Rasulullah s.a.w. berkata demikian ialah supaya bersegera."

Yang lain pula berkata:
"Tidak, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat janganlah bersembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Quraizah. Oleh itu kami tidak akan sembahyang melainkan di perkampungan Bani Quraidzah, walaupun selepas Maghrib."

Jadi, mereka menunaikan Asar di dalam waktu Maghrib.

Ketika disampaikan hal itu kepada Rasulullah, baginda tidak menyalahkan mana-mana golongan pun. Ini adalah iqrar (pengakuan) baginda terhadap ijtihad. Baginda membiarkan sahabatnya beramal mengikut ijtihad mereka. Inilah salah satu sebab perselisihan.

Sebab lain lagi ialah ada manusia yang ‘mutasyaddid’ (terlalu berhati-hati) dan ada yang ‘mutarakhis’ (memudahkan). Ini adalah tabiat manusia.

Ibnu Omar contohnya, tidak sama dengan Ibnu 'Abbas. Ibnu Omar ketika berwudhuk akan memasukkan air ke matanya sehingga menyebabkan beliau buta. Ibnu `Abbas pula tidak merasakan perkara itu perlu.

Ibnu Omar takut mencium anak anaknya kerana bimbang air liur mereka terkenanya. Ibnu ‘Abbas pula mencium dan memeluk mereka serta berkata: "lanya seperti bunga yang dicium."

Perbezaan pandangan antara dua sahabat ini ialah perbezaan roh mereka. Dari sinilah datangnya kaedah' Syadaaid Ibnu Omar' dan `Rukhsah Ibnu Mas'ud' yang terkenal di dalam warisan Feqah.

Bahasa juga merupakan sebab berlakunya perselisihan.

Mafhum Firman Allah:
"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga quru '. " (Al-Baqarah: 228)

Apakah yang dimaksudkan dengan quru'?

Di dalam bahasa, perkataan ini memberi dua makna samada ‘haid’ dan juga ‘suci’. Para Imam telah berselisih disebabkan oleh perselisihan mereka dalam menentukan maksud perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna.

Begitulah juga dengan sebahagian perkataan yang membawa maksudnya yang hakiki dan `majazi' (bukan makna hakiki). Sebahagian Imam mengambil maknanya yang hakiki dan sebahagian yang lain mengambil maknanya yang `majazi'. Sebagai contohnya, firman Allah: "Atau kamu sentuh perempuan.” (Al-Maidah: 6)

Adakah yang dimaksudkan di sini bersentuh, seperti pandangan Ibnu Omar atau ianya adalah kiasan bagi persetubuhan, seperti pandangan Ibnu `Abbas?

Antara sebabnya lagi ialah yakin atau tidaknya Imam-imam kepada sesuatu riwayat. Seorang Imam mungkin meyakini dan mengambil suatu riwayat, sedangkan seorang Imam yang lain tidak meyakininya atau mengambilnya.

Sesetengah daripada mereka mengenakan syarat-syarat untuk menerima hadis yang tidak dikenakan oleh yang lain. Terutamanya di dalam beberapa masalah seperti `umum al-balwa'.

Sebab lain lagi ialah perselisihan mereka di dalam penilaian dan pengkelasan sesuatu dalil. Misalnya Imam Malik mengutamakan amalan penduduk Madinah dalam ibadat lebih daripada hadis Aahaad.

Ada Imam-imam yang mengutamakan hadis Dha'if (yang kemudiannya dinamakan hadis Hasan) lebih daripada qias. Imam-imam lain pula melihat sebaliknya. Begitulah seterusnya.

Ada yang berhujah dengan hadis Mursal secara total, ada yang menolaknya secara total dan ada juga yang menerimanya dengan bersyarat.

Ada yang berpendapat syariat umat terdahulu adalah syariat bagi kita dan ada yang tidak berpendapat begitu.

Ada yang berhujah dengan kata-kata sahabat dan ada yang menolaknya.

Ada yang berhujah dengan `masaah mursalah' (yang tidak ada dalil menunjukkan penerimaan dan penolakannya) dan ada yang tidak menerimanya.

Sebab-sebab berlaku percanggahan ini adalah perselisihan mereka dalam dalalah `amr' (perintah) dan `nahyu' (larangan), `am' (umum) dan `khan' (khusus), `mutlak' dan `muqaiyad', `mantuq' dan `mafhum' serta lain-lain perkara lagi yang dijelaskan dalam ilmu Usul Fiqh.

Tegasnya, terdapat banyak sebab yang membawa kepada perselisihan Imam-imam. Banyak buku-buku sama ada lama dan baru yang disusun dalam masalah ini. Antaranya ialah kitab al Insaf fi asbab al-Ikhtilaf karangan al-'Allamah al-Dahlawi, `Asbab Ikhtilaf Ulama' karangan Sheikh Ali al-Khafif dan buku `al-Sohwah al-Islamiah baina al-Ikhtilaf al-masyru` waal-Tafarruq al-Mazmum' karangan saya sendiri.

Saya telah menerangkan di dalamnya, perselisihan di dalam perkara furu' (cabang) adalah daruri, rahmat, keluasan dan kekayaan. Saya juga menerangkan asas-asas fikiran dan akhlak yang terbina di atasnya Fiqh al-Khilaf (cara-cara berselisih) dan adab-adabnya sesama umat Islam.

Allah telah memberikan rahmat-Nya kepada umat ini dengan tidak menyempitkan agama mereka. Allah memberikan keluasan di dalam agama bagi pandangan dan pemahaman yang berbeza. Sesuatu yang sesuai untuk satu suasana mungkin tidak sesuai untuk suasana lain.

Suatu yang sesuai untuk satu zaman mungkin tidak sesuai untuk zaman yang lain.

Sebahagian sahabat telah berfatwa bagi satu masalah, kemudian menarik balik fatwanya itu, sebagaimana yang berlaku pada Omar.

Ketika ditanya kenapa beliau berpatah balik daripada pandangannya, beliau berkata: "Itu adalah berdasarkan apa, yang telah kita tahu, ini pula berdasarkan kepada apa yang sedang kita tahu." Suasana dan hal sesuatu mungkin berubah dan manusia akan terkesan dengan apa yang dilihat dan didengar, lalu menukarkan pandangannya.

Oleh sebab inilah, Imam Syafie mempunyai dua mazhab. Mazhab Qadim ketika beliau berada di Iraq dan mazhab Jadid ketika beliau berada di Mesir. Perkara ini boleh kita lihat dalam kitab-kitab Fiqh: "Ini adalah pandangan Syafie dalam mazhab Qadim', "Ini adalah pandangan Syafie dalam mazhab Jadid." Ini ialah kerana apabila Imam Syafie sampai di Mesir, beliau melihat perkara-perkara yang belum pemah dilihatnya. Beliau mendengar hadis-hadis yang belum pemah didengarnya. Kerap kali mujtahid membetulkan kembali pandangannya. Semua ini adalah sebab-sebab yang membawa kepada berlakunya perselisihan.

Apabila Abu Ja'far al-Mansur meminta Imam Malik mengarang kitabnya Al-Muwattha, beliau (Abu Ja'far) telah berkata: "Jauhilah `syadaid' Ibnu Omar, `rukhsah' Ibnu 'Abbas, `syawaz' (keganjilan) Ibnu Mas'ud dan ajarlah ia kepada orang ramai."

Imam Malik melaksanakan permintaan ini dan mengarang kitabnya yang terkenal dalam Islam dengan nama `Al-Muwattha'.

Khalifah kemudiannya ingin memaksa orang ramai mengikut kitab ini, tetapi Imam Malik (r.a) dengan kefahaman, kesedaran dan kewarakannya telah berkata:
"Wahai Amirul Mukminin, jangan lakukannya! Sesungguhnya sahabat-sahabat Rasulullah telah bertebaran ke segenap tempat. Setiap kaum telah mempunyai ilmu. Masyarakat telah menerima banyak pandangan dan meredhainya. Sekiranya kamu memaksa mereka menerima satu pandangan sahaja, nescaya akan berlaku fitnah."

Begitulah, mereka memandang perselisihan dalam perkara-perkara furu' (cabang) sebagai satu yang tidak memudaratkan dan tidak dapat dielak. Tidak mungkin umat akan bersepakat menerima satu pandangan sahaja dalam masalah-masalah furu' sebegini. Inilah kelembutan dan kebaikan Allah terhadap umat ini, diberikan kita peluang untuk berijtihad dan ruang bagi berbilang-bilang pandangan.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi sekiranya semua umat Islam bersepakat menerima satu pandangan sahaja dalam semua perkara (menolak pandangan-pandangan lain). Tiada sesiapapun yang akan dapat menggunakan `rukhsah' (kelonggaran) dalam mana-mana perkara. Tiada siapa juga yang boleh menilai pandangan, kata-kata atau riwayat bagi mengetahui yang manakah paling tepat dan benar?

Kesemua ini adalah jawapan bagi soalan: "Mengapakah Imam-imam berselisih?"

Sumber : Fatwa Prof Dr Yusof al-Qaradhawi


PERBEZAAN ANTARA 'SEMBAHYANG' DAN 'SOLAT'

| Isnin, 4 Julai 2011 |

Salam Syaaban...moga di bulan ini kita semua dapat membuat persediaan untuk menghadapi bulan yang mulia iaitu bulan ramahdan. Dibawah adalah sebuah perkongsian tentang perkataan 'Sembahyang' dan 'Solat' :


Hampir kebanyakan umat Islam hari ini tidak terlepas daripada menggunakan istilah "Sembahyang" yang merujuk kepada "Solat." Tetapi pada hakikatnya, istilah "Sembahyang" mempunyai maksud atau pengertian yang terdapat unsur "Syirik."

Professor Hasbi As Siddiqi di dalam salah satu bukunya, membahas perkataan "Sembahyang." Katanya; "Sembahyang di ambil daripada perkataan "Sembah" dan "Hyang" yang merujuk kepada nama dewa - dewa yang disembah oleh penganut Agama Hindu dahulu kala. "Sembahyang" juga diertikan sebagai "menyembah berhala yang bernama Hyang."

Dua pakar Bahasa Indonesia, yang salah seorangnya pernah datang ke Malaysia, mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Dr Daniel juga telah mengesahkan bahawa istilah "Sembahyang" merujuk kepada "menyembah dewa yang bernama Hyang."

Orang Buddha pergi ke Tokong, Orang Hindu pergi ke Kuil dan Orang Kristian pergi ke Gereja menggunakan istilah "Sembahyang," terserahlah kepada mereka, kerana memang terdapat unsur "Syirik" dalam ibadah mereka. Tetapi Umat Islam, Tidak sesuai sekiranya, "Solat" juga diistilahkan sebagai "Sembahyang", yang mana pada asalnya kata sembahyang itu merujuk kepada "menyembah dewa bernama Hyang."

Kalau boleh ubahlah ayat seperti seorang ibu mengarahkan anaknya bangun untuk menunaikan Solat Subuh. "nak, bangun!. pergi "Sembahyang Subuh," kepada "nak, bangun!. Pergi "Solat Subuh." Solat lebih tepat istilahnya

Mungkin sebahagian daripada kita, akan menganggap bahawa hal ini hanyalah hal yang remeh dan tidak begitu penting. Tetapi bagi mereka yang mempunyai kesedaran Agama dan mementingkan kualiti ibadah, akan sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian akan hal seperti ini.

SEBARKAN . . . Semoga Allah merahmati usaha kita. Amin!.

Siiru 'ala barakatillah...

Copyright2011


Analogi Ghazwatul Fikr

| |

Assalamualaikum ...

Kisah yang sangat menarik utk diceritakan, terutamanya ketika dalam tazkirah2 ringkas. perumpamaan yg baik dan dapat diterima akal akan lebih diingati dan dimanfaatkan oleh para pendengar.wAllahua'lam..

Seorang guru sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam.Si guru berkata, "Saya punya permainan...Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka berserulah "Pemadam!"Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Si guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian sang guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka berserulah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti. Si guru tersenyum kepada murid-muridnya."Anak-anak, begitulah kita ummat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membedakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita lewat berbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya."

"Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi karena terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kalian terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kalian tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan etika."

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, sex sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend,materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain."

"Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?"Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain. Akhirnya si Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet."Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya...Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar.""Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat."

" Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda." "Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan."

"Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (perang pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita.."Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya mereka"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi..apa lagi yg tercengang2 tu?? ayuh kita kejutkan umat Islam lain yg masih tertidur!!!

Siiru 'ala Barakatillah...


Rijal Sejati...

| Sabtu, 14 Mei 2011 |

Salam,

Alhamdulillah, Allah masih lagi mengurniakan nafas untuk kita hidup di atas bumiNya bagi melaksanakan segala tuntutan dan kewajipan terhadap Allah dan agamaNya. Inilah hak kita sebagai hamba kepada Allah yang telah menciptakan kita dari tiada kepada wujudnya kita atas bumi ini. Walaupun pada hakikatnya tidak akan kurang sedikit pun khazanah Allah jika kita sebagai hambaNya tidak melaksanakan tuntutan dan kewajipan kepadaNya, dan juga tidak bertambah pun khazanah Allah jika kita taat dan patuh melaksanakan tuntutan dan kewajipan yang diwajibkan ke atas kita melaksanakannya. Maknanya kita sebagai hambaNya tidak memberi seba rang manfaat dan mudarat pun kepada Allah, bahkan hanya Allah sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudarat kepada diri kita. Ingat dan tekadkanlah dalam diri kita untuk melaksanakan yang terbaik dan luar biasa dalam menjalani tuntutan dan kewajipan yang digalaskan oleh Allah. Moga kita semua termasuk hambaNya yang ikhlas dalam perjuangan yang panjang dan penuh cabaran ini.

Disini ana ingin berkongsi sedikit sebuah kisah para salafussoleh untuk kita teladani hidup mereka dan mengambil roh perjuangan yang telah mereka lalui... Kisah Abdullah bin Mubarak dengan sahabat beliau Fudhail bin 'Iyadh... bacalah dengan teliti dan penuh tadabbur moga disana ada manfaatnye untuk para da'i.

Abdullah Bin Mubarak (Ibnu Mubarak)

Allah S.W.T. memberi hidayah kepada Abdullah bin Al-Mubarak (meninggal pada 181H) untuk melakukan pembaharuan (tajdid) dalam kehidupan umat Islam.

Abdullah bin Al-Mubarak Rahimahullah adalah seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti dengan adanya hadis-hadis beliau yang termaktub di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim, kitab-kitab sunan dan kitab-kitab musnad. Lebih dari itu, beliau adalah di antara ahli fiqh yang bijaksana dan mempunyai harta yang banyak. Kekayaannya telah dibelanjakan untuk membiayai pengajian pelajar-pelajar dan majlis ilmu di semua ibu negara Islam. Beliau juga mempunyai koleksi puisi-puisi indah tentang keimanan.

Bukan itu saja, bahkan beliau juga adalah seorang da’i dan mujahid. Setiap tahun beliau berperang di Rom dan menjadikan Tursus yang terletak di selatan Turki sebagai tempat tinggal. Sifat-sifat inilah yang menjadikan beliau pemimpin ahli hadis semasa zamannya.

Kata-kata yang dipetik dari Abdullah bin Mas’ud itu menggegarkan Abdullah bin al-Mubarak lalu dijadikan sebagai pelita di dalam hidupnya. Beliau memainkan peranan Ibnu Mas’ud yang kedua. Hinggakan kita dapat lihat beliau membantah sikap sahabatnya, seorang ahli ibadah zuhud yang thiqah iaitu al-Fudhail bin Iyadh Rahimahullah (meninggal pada 187H) kerana mengasingkan diri di Mekah untuk beribadat dan meninggalkan jihad.

Al-Fudhail juga merupakan seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti apabila hadis-hadisnya terdapat di dalam kitab sahih al-Bukhari dan Muslim. Dalam sejarah Islam, beliau dianggap seorang ahli ibadat dan zuhud yang termasyhur dan paling baik perkataannya. Tetapi Abdullah bin Al-Mubarak tidak menganggap keistimewaan itu sebagai alasan untuk meninggalkan jihad dan memerangi musuh Islam. Ibnu al-Mubarak pun mengeluarkan ‘kata-kata berat’ kepada al-Fudhail di mana beliau menyifatkan sahabatnya itu sebagai ahli abid yang bermain-main dengan ibadatnya. Tegurannya itu dikirimkan kepada al-Fudhail dari Tursus setelah selesai satu peperangan, semasa belum pun sempat debu di badannya hilang. Beliau mengirimkan rangkap-rangkap puisi yang tersangat indah, menjadi hujah bagi setiap da’i selepas beliau.

Syairnya mengandungi rangkap-rangkap yang sungguh mengkagumkan, isinya yang sangat benar dan jitu disulami dengan bahasa yang bermutu tinggi. Bukalah hati kalian, rungkaikanlah belenggu dan bebaskanlah hati kalian dari ikatan, supaya dia terbang dan melayang tinggi bersama rangkap-rangkap puisi Ibnu al-Mubarak :

Wahai orang yang sedang beribadat di dua tanah haram, jika kamu melihat kami

nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.

orang-orang itu membasahi lehernya dengan air mata,

sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah

dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia

sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan

kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami

adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan peperangan

telah datang kepada kami sabda Nabi kita

kata-kata yang benar, tepat dan bukan dusta :

“Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang

menyala

kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa

“orang yang mati syahid itu tidak mati” ini bukan satu dusta.

Rujuk : Al-Subki, Tabaqat al-Syafiiyyah al-Kubra, Jilid 1, m.s. 287 (dipetik dari Kitab al-Muntalaq : Muhammad Ahmad ar-Rasyid).

Hadis yang dimaksudkan oleh Ibnu Mubarak ini ialah Hadis sahih riwayat Tarmizi, Nasa’i, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ahmad : Tidak akan bertemu debu jihad dengan api neraka Jahannam.

Ungkapan Abdullah bin al-Mubarak ini diucapkan kepada ahli ibadah yang berada tanah haram Makah al Mukarramah. Al-Fudhail digelar sebagai ahli ibadah di dua tanah haram (Mekah dan Madinah). Beliau terkenal dengan banyak menangis. Kerana itulah Abdullah bin al-Mubarak menyindirnya dengan menyebut tentang air mata. Seperti sesetengah orang yang bersembahyang, al-Fudhail memakai haruman mawar dan lain-lain haruman untuk mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, Abdullah bin Al-Mubarak menyindirnya dengan mengatakan ianya satu haruman yang mudah padahal Rasulullah SAW dan pewaris baginda dari kalangan ulama’ mujahidin berlumuran dengan darah dan debu medan peperangan di samping haruman mawar dan kasturi.

Apalah yang patut kita katakan kepada orang yang pada hari ini meninggalkan jihad dan dakwah, tidak amar makruf dan nahi mungkar, bukan kerana banyak beribadat, tetapi untuk berehat, bermewah, mengumpulkan harta dan memuaskan hati suami atau isterinya?

Apakah tidak patut kita katakan kepada ahli ibadat hari ini apa yang telah di katakan Abdullah bin Al-Mubarak :

“Wahai ahli ibadah, sekiranya kamu melihat bagaimana da’i Islam bertarung dengan pendukung kekafiran (jahiliyyah) puak-puak yang sesat, barulah kamu tahu yang kamu hanya bermain-main di dalam ibadatmu.”

Jika ahli ibadat merasa bengkok belakangnya kerana terlalu banyak melakukan solat, kering tekak kerana terus-menerus berpuasa, para da’i pula bengkok belakang mereka kerana setelah solat fardhu dan sunat, mereka terpaksa ke sana ke mari pula membincangkan dan merencanakan pelbagai urusan dan maslahah umat Islam. Tekak mereka pula kering kerana banyak bekerja dan bergerak. Mereka mengorbankan darah mereka hinggakan jasad-jasad mereka terkulai di tali gantung.


Hikmah Diciptakan Nafsu

| Rabu, 5 Januari 2011 |

"Aku teringin makanan yang sedap. Aku mahu pangkat kedudukan yang tinggi. Aku mahukan suami/isteri yang terbaik. Tapi Ya Allah! Mengapa nafsuku ini sukar sekali diajar agar menjadi mutma'innah? Mengapa sukar sekali untukku ikat syahwatku ini? Sedangkan telah berulang kali aku diajar untuk menjadi seorang murid yang baik, nafsuku perlu dikekang. Keinginanku perlu cuba disekat. Aku patut menginginkan keredhaan dan maghfirah-Mu semata, Ya Allah!"

Inilah monolog diri seorang hamba Allah yang jika benar monolog itu datang dari hati yang tulus ikhlas, itu adalah tanda kedudukan hati yang begitu cukup tinggi di sisi Allah. Pernah seorang ahli Sufi berkata : "Jika ku mampu meninggalkan secupak makanan itu lebih ku cintai dari beribadat sepanjang malam."

Namun begitu mengapa keinginan nafsu ini disuburkan di dalam jiwa manusia? Apakah faedahnya? Mengapa diilhamkan Allah kepada kita kebaikan dan keburukan nafsu ini? Subhanallah. Sebenarnya ada tiga hikmah utama, nafsu disuburkan dalam jiwa manusia yang disebut ulama’:

1) Istimrar (kesinambungan).

2) Isti'nas (kerinduan dan keinginan kepada sesuatu).

3) Ba'is lilhimam (faktor pencetus kepada kekuatan).

Manusia memerlukan makanan untuk kesinambungan nyawanya. Memerlukan perkahwinan untuk kesinambungan spesis manusia. Usah disalahkan nafsu. Tanpa nafsu, tidak ada manusia yang ingin berkahwin. Manusia juga perlukan nafsu makan faktor penguat untuk berusaha mencari rezeki. Manusia juga memerlukan nafsu perkahwinan sebagai pencetus untuk berusaha mendapatkannya, dan memperbaiki kedudukan diri. Begitu jualah pada setiap jenis nafsu. Hikmah pertama dan ketiga ini mudah dikecap oleh fikiran yang terbuka dan hati yang beriman.

Pada hikmah kedua pula, iaitu isti'nas. Sebagai contoh, seorang anak kecil yang ditunjukkan gambar sebuah basikal, dan dijanjikan untuknya sebuah basikal oleh si ayah jika belajar bersungguh-sungguh. Tentu sekali si anak tadi, sudah merasa nikmat melihat gambar tersebut, dan sudah bernafsu untuk mendapatkannya. Namun nikmat yang sebenar adalah apabila dia benar-benar mendapatkan basikal itu daripada si ayah.


Begitu jualah kita di dunia ini. Apabila kita bernafsu untuk makan, jadikanlah makanan yang kita nikmati itu mengingatkan dan menguatkan pula keinginan kita untuk mendapatkan makanan yang jauh lebih lazat di Syurga. Anggur yang dimakan, susu yang diminum, takkan sama di dunia dan di akhirat. Setiap biji anggur yang kita nikmati di dunia, cuba kita bayangkan pula nikmat yang jauh lebih besar di Syurga, yang mana nikmatnya tidak ada mata yang mampu menggambarkannya, tidak ada telinga yang mampu mengecapnya dan tidak terlintas di hati manusia di dunia.

Nafsu perkahwinan, di dunia, sewajarnya mengingatkan kita pula akan perkahwinan di akhirat. Tak kira anda berkahwin dengan seorang wanita mahupun berpoligami di dunia sementara ini, jadikan ia penguat untuk mendapatkan Syurga Firdaus. Usahakanlah agar perkahwinan itu mampu menguatkan diri agar merindui akhirat.

Nafsu mendapatkan pangkat dan kedudukan di dunia, patut mengingatkan kita agar merindui kedudukan di sisi Allah di dalam Syurga. Kedudukan yang tiada taranya. Tentu sekali nafsu yang terbaik adalah apabila mengharapkan kedudukan (manzilah) di sisi Allah ketika di dalam dunai ini lagi. Bak, sebuah Hadis Qudsi, apabila kita menyebut nama Allah dalam satu kumpulan, Allah akan menyebut nama kita di dalam perkumpulan yang jauh lebih baik daripada perkumpulan kita itu. Bukankah itu satu kedudukan yang kita ingin kecap di dunia ini? Namun itu semua sepatutnya menyebabkan kita lebih merindui nikmat kedudukan di dalam Syurga. Khususnya, nikmat yang tidak terbanding apabila dianugerahkan Allah melihat kepada-Nya di dalam Syurga nanti. Segala nikmat di dunia ini akan terasa remeh malah tidak berharga, jika kita mendapat nikmat Allah di Syurga-Nya.

Keinginan yang dikecap dengan nikmat mendapat doa yang mustajab pun takkan sama dengan nikmat di syurga. Malahan nikmat beribadat di tengah malam juga (seperti mana kalam para salafussoleh, nikmat beribadat di tengah malam adalah nikmat teragung di dunia ini), tidak dapat mengalahkan nikmat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala di Syurga nanti. Moga setiap nafsu kita di dunia ini dapat menguatkan lagi keinginan kita untuk mendapatkan yang lebih baik lagi di akhirat kelak. Moga Allah memasukkan kita dalam golongan yang mendapat nikmat di atas nikmat di dalam Syurga-Nya nanti. Amiin.

Siiru 'ala barakatillah...


Tasawwuf dan Tareqat Menurut Syeikh Ali Jumaah

| Selasa, 4 Januari 2011 |

Tasawwuf dan Tareqat Menurut Syeikh Ali Jumaah

Syeikh Ali Jumaah (Ulama' Mesir) mengenai pengertian tasawwuf dan tareqat:

"Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".

Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.

Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.

Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.

Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:



Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]

Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.

Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara:

Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.

Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.

Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :

1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.

Firman Allah SWT:









Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]

2-Memperbanyakkan zikrullah.

Firman Allah SWT:



Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.

Firman Allah SWT:



Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)

Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan murid itu sendiri.

Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza.

Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah ! Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda Rasulullah SAW : Jangan kamu marah !. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh berpegang dengannya ! Jawab Rasulullah SAW : Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT.

Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.

Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT. Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".

Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah seterusnya.

Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan.

Mereka yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan.

Tidak harus juga bagi kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah). Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca sanjungan mereka terhadap tasauf.

Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".

Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.

Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung? Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan sunnah secara terus.

Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara berdepan atau mengadap guru).

Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah ulama' dalam bidang tersebut.

Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.

Firman Allah SWT:



Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat". [Al-Hajj: 38]

Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf, tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Kita memohon kepada Allah untuk memperlihatkan secara jelas terhadap urusan-urusan agama kita."

Syeikh Ali Jumaah (Ulama' Mesir)


Siiru 'ala Barakatillah...


;

Kenali Ulama'

Yaumul 'eid 2009

Syeikh Ibnu Ata'illah As-Sakandari menyatakan :
"Raja' (harapan) iaitu kehendak yang diiringi dengan amal. Kalu tidak, disebut umniyyah ( angan-angan)".
Harapan yang diakui dalam Islam ialah harapan yang disertakan dengan amalan. Sekiranya tidak disertai dengan amalan, ia merupakan sejenis angan-angan kosong yang lebih hampir kepada mimpi di siang hari sahaja. Begitu juga dengan seseorang pejuang Islam yang ingin merubah sistem jahiliyah ini ke arah sistem Islam seluruhnya, namun tidak pernahpun bergerak untuk merealisasikan hasratnya itu, keinginannya itu hanyalah angan-angan kosong sahaja.


Ape Ade Pade Name

ABDUL YADIY
AAmanah
BBijaksana
DDinamik
UUntung
LLemah-lembut
YYakin
AAlim
DDedikasi
IIkhlas
YYakin
Apa ada pada nama?

Facebook Badge

~Alirkanlah Dlm Dirimu Cinta Hanya Pd-NYA~

Silibus Tarbiah Usrah

Silibus Tarbiah Usrah
Satu Lambang Komitmen Sekelompok UMMAH Menggerakkan Tarbiah Generasi Baru ISLAM

~Anjung Sahabat~

Soutul Ukhuwah


ShoutMix chat widget

Pengikut

Qalbun Salim